Suka saya kongsi berita gembira dengan bloggers di sini bahawa baru-baru ini, Kabinet telah bersetuju menubuhkan sebuah lagi universiti swasta di bawah pengurusan Majlis Amanah Rakyat (Mara) yang dikenali sebagai Universiti Malaysia Jepun (Maju) dan akan memulakan sesi pengajian pada Julai 2009. Buat permulaan universiti ini akan menggunakan kampus Kolej Kemahiran Tinggi Mara di Branang, Selangor sebagai pusat pengajiannya dengan pengambilan pertama seramai 70 pelajar lepasan STPM. Sebenarnya,penubuhan universiti ini dirancang sejak tahun 2001 lagi dan melibatkan kerjasama kerajaan Jepun sehubungan itu, kerajaan Jepun melalui syarikat swastanya di negara ini akan menyediakan peralatan pembelajaran, selain membekalkan 15 orang profesor sebagai tenaga pengajar di universiti itu nanti. Dari segi sistem pendidikannya pula adalah 100 peratus mengikut sistem teknologi Jepun.
Besarlah harapan saya agar dengan tertubuhnya universiti yang kedua di bawah MARA ini iaitu selepas UNIKL, akan lebih ramai lagi anak-anak kita terutamanya di kawasan-kawasan luar bandar mendapat peluang pendidikan yang lebih baik seterusnya menjadi masyarakat penyumbang ke arah kebaikkan kepada agama, bangsa dan negara. Kita juga sedang berusaha untuk menaik taraf GMI agar menjadi sebuah lagi intitusi pendidikan tinggi yang bertaraf universiti di Malaysia. InsyaAllah...





























