Pengumuman

Blog ini sudah berpindah ke alamat baru

www.nohomar.com .

 Blog ini masih akan mendapat update dan pautan posting terkini dari Blog baru.

Terima Kasih kepada semua pengunjung Blog Hati Malaya.

Wednesday, October 29, 2008

Pemilikan Ekuiti Melayu Hanya 19 Peratus

KUALA LUMPUR 28 Okt. – Pencapaian bumiputera dalam pemilikan ekuiti syarikat senaraian awam setakat ini baru mencapai 19 peratus, jauh daripada 30 peratus yang disasarkan sewaktu Dasar Ekonomi Baru (DEB) diperkenalkan kerajaan pada 1970.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Noh Omar berkata, sehubungan itu cadangan agar syarat pemilikan 30 peratus ekuiti bumiputera dalam syarikat senaraian awam dimansuhkan tidak boleh diterima sama sekali.

‘‘Sebelum mengutarakan cadangan begitu, pihak-pihak berkenaan harus mengkaji kedudukan ekonomi kaum Melayu dan bumiputera terlebih dahulu,’’ katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Meraikan Kejayaan GiatMara di sini hari ini.

Beliau menambah, syarikat bukan bumiputera yang sebenarnya tidak bekerjasama dengan usahawan bumiputera demi kepentingan perniagaan mereka.

‘‘Sebagai contoh, beberapa bulan lalu kementerian saya telah berusaha mempertemukan 260 syarikat bukan bumiputera yang belum mempunyai 30 peratus pemilikan ekuiti bumiputera dengan para usahawan bumiputera,” jelasnya.

Namun, katanya, daripada 260 syarikat bukan bumiputera yang dijemput, hanya enam syarikat yang menghadirinya dan program mempertemukan ahli-ahli perniagaan itu disifatkan sebagai gagal.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas cadangan Naib Presiden MCA, Datuk Liow Tiong Lai semalam, yang meminta kerajaan menarik balik syarat pemilikan 30 peratus ekuiti bumiputera dalam syarikat senaraian awam.

Tiong Lai berkata, merit atau daya saing sesuatu syarikat itu yang perlu diberikan keutamaan dan bukannya persoalan berkaitan ekuiti bumiputera.

Noh yang juga Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO turut menggesa parti komponen Barisan Nasional (BN) tidak terikut-ikut dengan rentak pembangkang yang sengaja mahu menyentuh hak Melayu dan bumiputera demi kepentingan politik mereka.

‘‘Justeru, isu sensitif sebegitu tidak perlu dikemukakan sekarang kerana masalah krisis ekonomi global bukan hanya melanda negara baru-baru ini,” katanya.

Beliau juga menyarankan agar penekanan diberikan terhadap aspek mewujudkan kerjasama yang jitu antara peniaga Melayu, Cina dan India di negara ini.

Tegasnya, dalam memastikan hak Melayu dan bumiputera terjamin seperti dalam Perlembagaan Persekutuan, kerajaan BN tidak pernah menafikan hak kaum bukan bumiputera.

Malahan sebagai contoh, katanya, GiatMara telah menerima ribuan pelajar kaum India sungguhpun penubuhan Mara dikhususkan untuk membantu Melayu dan bumiputera.

Petikan : Utusan Malaysia

Thursday, October 23, 2008

JANGAN TUDUH MELULU !!!

Terima kasih kepada LittleMalays75 yang telah menghantar komen dan lampiran ini kepada saya..

Assalamualaikum Dato',
disini saya lampirkan satu artikel yang saya dapat dari laman web harakahdaily.com. Ini mungking berkaitan dengan dato'.
LittleMalays75

Pembohongan tambang bas, pembohongan pemimpin
LanH
Fri Oct 17, 08 3:07:31 pm MYT
Tambang bas ekspres dinaikan sebanyak 30 peratus dalam bentuk surcaj sempena musim perayaan (Aidilfitri). Tempohnya sebulan saja (15 September-15 Oktober), kata menteri. "Selepas itu, kita akan kaji balik!"

Kini 15 Oktober sudah berlalu tetapi tambang masih macam musim perayaan. Tidak turun-turun sekalipun harga minyak sudah dikurangkan. Apa macam menteri, cakap bohong, betul-betul macam sindiran orang lama ? siakap senohong, bercakap bohong lama-lama jadi pencuri, oppps, menteri.

RESPON SAYA:

Saya ingin ucapkan ribuan terima kasih kepada HarakahDaily.Net kerana menyiarkan rencana yang bertajuk Pembohongan Tambang Bas, Pembohongan Pemimpin. Apa yang dipaparkan dalam berita itu sebenarnya memperlihatkan KEDANGAKALAN penulisnya sendiri. Perenggan pertama sahaja sudah jelas memperlihatkan betapa penulis tidak memahami isu sebenar disebalik keputusan kerajaan membenarkan pengusaha bas mengenakan surcharge ataupun tambang tambahan sebanyak 30 peratus sempena musim perayaan Aidilfitri bermula 15 September 2008 hingga ke 15 Oktober 2008.

Telah berkali-kali saya perjelaskan kepada media dan telah pun tersiar di akhbar-akhbar perdana bahawa surcharge bukanlah suatu perkara baru. Setiap tahun kerajaan membenarkan pengusaha bas mengenakan surcharge untuk memastikan pengangkutan bas berjalan lancar dan memenuhi permintaan pengguna yang bertambah menjelang musim perayaan.

Kebenaran mengenakan surcharge 30 peratus ini diharap akan memberikan sedikit kelegaan kepada para pengusaha bas yang semakin terhimpit ekoran kenaikan kos operasi dan seterusnya menyediakan khidmat terbaik kepada orang ramai yang ingin pulang ke kampung untuk berhari raya. Maka kerana itu surcharge meliputi semua bas ekspress, bas tambahan dan bas henti-henti.

Ingin saya terangkan disini bahawa kebenaran pengenaan surcharge itu adalah langkah awal dan terbaik yang dilihat mampu menenangkan suasana tuntutan kenaikan tambang perkhidmatan pengangkutan awam. Mereka telah menuntut kenaikan 100 peratus kenaikan tambang semenjak tahun 2005 iaitu sewaktu harga diesel RM1.08 sen lagi. Dalam tempoh tiga tahun ini, harga barangan ganti dan kos operasi bas meningkat begitu ketara sekali. Cuba saudara bandingkan harga tayar kereta tahun 2005 dan tahun 2008, belum lagi minyak pelincir dan alat-alat ganti kenderaan yang lainnya.

Memang benar mereka diberikan subsidi diesel RM1.48 sen, tapi masih kekurangan 40 sen berbanding herga diesel tahun 2005. Harga kertas surat khabar pun dah naik berkali-kali ganda.

Dalam menangani tuntutan kenaikan harga tambang bas ini, Kerajaan berusaha untuk mewujudkan situasi sama-sama menang antara pengusaha dan pengguna. Oleh kerana khidmat bas ekspres sempena musim perayaan Aidilfitri tahun ini memenuhi syarat-syarat pemberian surcharge maka kita teruskan pemberian surcharge sehingga satu keputusan baru dapat dibuat terhadap tuntutan kenaikan tambang oleh para pengusaha pengangkutan awam. Perlu diingat, mereka tuntut 100 peratus, kadar surcharge 30 peratus kita teruskan selepas 15 Oktober sehingga keputusan baru dapat dibuat dalam memenuhi tuntutan para pengusaha bas ekspres itu. Jadi betullah saya kata, "Selepas itu (15 Oktober) kita akan kaji balik!".

Jangan tuduh melulu, periksa dulu fakta, baru buat laporan yang balance, tidak berat sebelah, bukan seperti HarakahDaily yang tak tahu etika kewartawanan. Kerajaan Barisan Nasional sentiasa mengalu-alukan kritikan membina daripada orang ramai tetapi bukannya tuduhan-tuduhan jahat yang tidak berasas.

Wednesday, October 22, 2008

RESPON KEPADA KOMEN ANDA...

Salam dan terima kasih kepada semua yang telah memberi pelbagai komen mengenai kenyataan saya terhadap MARA baru-baru ini. Setiap komen dan pandangan saudara-saudari baik yang negatif mahupun positif, saya terima dengan berlapang dada dan saya sentiasa mengalu-alukan untuk saudara-saudari terus bersama saya di blog ini.

Sebenarnya saya tidak bermaksud untuk membuka pekung di dada atau meludah ke langit mahupun menjadi juara dengan mendedahkan kepincangan yang berlaku dalam konteks delivery system kementerian dan agensi-agensi MECD.

Isu berkaitan MARA ini berbangkit sewaktu saya membuka sesi dailog dengan hadirin yang hadir di Majlis Rumah Terbuka FITEC di Batu Caves pada 11 Oktober yang lalu. Kebanyakkan yang hadir terdiri daripada usahawan-usahawan yang dididik oleh MARA khususnya para usahawan perabot di bawah naungan FITEC.

Pelbagai isu dan permasalahan yang diutarakan oleh mereka menarik perhatian saya termasuklah dalam soal betapa sukarnya untuk mendapat pinjaman MARA bagi membiayai projek mereka sedangkan mereka adalah usahawan yang diasuh oleh MARA.

Bagi saya, jika usahawan yang berlindung di bawah payung MARA sendiri pun sukar untuk mendapat pinjaman maka bagaimana pula dengan usahawan lain...??? Isunya sama pada setiap sesi dialog bersama orang ramai khususnya sewaktu program-program Gerak Usahawan. Sukar mendapat pinjaman, kelulusan lewat, pinjaman lulus tapi duit lambat dapat sehingga ada dikalangan usahawan hampir bankrap membiayai projek kerana masalah-masalah yang disebutkan tadi. Oleh kerana pada sesi dialog itu, wartawan juga hadir maka isu ini menjadi bahan berita untuk mereka siarkan.

Walaupun pahit berita itu, terpaksalah saya telan jua dan mengharapkan agar semua pihak dapat menerima dengan hati terbuka terhadap kenyataan saya itu. Yang pentingnya, kita memikul amanah dan tanggungjawab untuk membangunkan masyarakat usahawan bumiputera. Jadi janganlah kita abai dan ambil sikap sambil lewa dalam menjayakan amanah dan tanggungjawab ini.

Dalam menjayakan pembangunan usahawan ini, adalah menjadi matlamat MECD untuk memperbanyakkan jumlah usahawan bumiputera. Ini sejajar dengan hadis nabi, yang juga telah menjadi tag line kementerian, "9/10 rezeki adalah dari perniagaan."

Maka dengan itu, pelbagai skim kita wujudkan untuk usahawan Bumiputera. Namun yang pentingnya MECD dan agensi-agensi perlu memastikan sistem penyampaian yang cekap dan berkesan agar matlamat pengujudan skim dan pinjaman usahawan ini dapat dicapai dengan jayanya dalam memberi manfaat sepenuhnya kepada golongan usahawan.

MECD bukan sahaja memberi penekanan kepada berapa banyak jumlah usahawan yang boleh kita wujudkan malah MECD turut memberi penekanan kepada pembentukkan masyarakat usahawan yang berdaya saing, maju dan berupaya meningkatkan mertabat Bangsa Melayu dalam dunia keusahawanan.

Bersama-sama kita membuat perubahan pada hari ini untuk hari esok yang lebih baik. Semoga berjaya!

Wednesday, October 15, 2008

Monday, October 13, 2008

Menteri Selar MARA

KUALA LUMPUR: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Noh Omar, menyelar sikap Majlis Amanah Rakyat (Mara) yang disifatkannya terlalu lambat dan mengamalkan budaya kerja 20 tahun lalu kerana mengambil masa berbulan-bulan untuk meluluskan pinjaman.Katanya, budaya kerja perlahan bukan saja menjejaskan perniagaan pengusaha Bumiputera, tetapi turut memberi imej buruk kepada kerajaan apabila rakyat marah dan menganggap kerajaan gagal mengotakan apa yang dikata, sedangkan ia diuruskan agensi di bawah satu-satu kementerian.“Saya masih menerima aduan dan rungutan mengenai sistem pembiayaan, terutama pinjaman yang perlu diluluskan ibu pejabat Mara.“Di peringkat daerah tiada masalah kerana pegawai Mara diberi kuasa membuat keputusan serta merta sama ada melulus atau menolak pinjaman berjumlah kurang RM20,000.

“Yang menjadi masalah ialah pengurusan di ibu pejabat Mara. Saya tidak faham mengapa mereka mengambil masa terlalu lama untuk membuat keputusan.

“Kalau tidak cukup duit untuk beri pinjaman, maklumkan kepada kita. Kita akan kaji balik untuk mengurangkan jenis pinjaman.“Saya maklum Mara menawarkan banyak jenis pinjaman tetapi tidak berguna jika ia (pinjaman) tidak boleh diberi.“Jika janji satu bulan, mesti buat keputusan dalam tempoh itu sama ada untuk meluluskan atau sebaliknya. Kalau lulus, kena beritahu segera.“Saya sendiri mempunyai dua tiga kes permohonan yang mendapat sokongan saya serta kaki tangan kanan kementerian, tetapi selepas empat bulan masih tiada jawapan.“Jika permohonan yang disokong menteri pun tidak dapat diluluskan, apatah lagi permohonan orang lain,” katanya pada sambutan Aidilfitri Furniture Industry Technology Centre Sdn Bhd (FITEC), di sini, semalam.

Menurutnya, beliau akan melihat cara kerja jawatankuasa Mara yang bertanggungjawab meluluskan pinjaman, termasuk kekerapan mereka mengadakan mesyuarat dan individu yang diberi kuasa ke atas perkara berkenaan.Malah, kelewatan itu juga menjadi antara sebab ramai pengusaha Bumiputera mengambil keputusan membuat pinjaman dengan along yang disifatkan lebih mudah, sedangkan mereka layak memohon pinjaman kurang daripada RM20,000 tanpa memerlukan penjamin atau cagaran.Beliau juga menegaskan akan mengambil tindakan terhadap pegawai Mara yang gagal menjalankan tugas sehingga menyebabkan mana-mana bangunan Mara terbiar dan dalam keadaan ‘hidup segan, mati tidak mahu’.“Perkara ini sudah banyak kali saya sentuh, malah dibawa ke Kabinet, tetapi masih tiada perubahan. Ini sangat mengecewakan kerana Mara adalah imej kementerian.“Jika Mara gagal, bermakna kementerian juga gagal, sedangkan kita berusaha bersungguh-sungguh membantu pengusaha,” katanya.

Meskipun dalam serba kepayahan, Malaysia mampu menjadi pengeksport perabot kesembilan terbesar di dunia dengan nilai melebihi RM7 bilion dan RM2 bilion bagi pasaran tempatan pada 2007. Kementerian mensasarkan untuk mencapai nilai eksport kepada RM10 bilion pada 2010.Untuk mencapai sasaran berkenaan, pengusaha perabot tempatan perlu berusaha bersungguh-sungguh, apatah lagi dengan kemasukan perabot dari China yang bukan saja cantik dan menyamai rekaan luar negara yang terkenal, tetapi jauh lebih murah.

Petikan - Harian Metro

Saturday, October 11, 2008

SILATURRAHIM SESAMA KITA...

Semalam saya berkesempatan menghadiri Jamuan Hari Raya Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi bertempat di lobi kementerian...Sempatlah saya dan isteri melawat ke gerai-gerai yang disediakan sambil beramah mesra dengan tetamu yang hadir.Tahniah kepada urusetia yang bertungkus lumus menjayakan program ini dan terima kasih kepada seluruh warga MECD, agensi-agensi di bawah MECD dan juga semua tetamu yang telah menghadirkan diri bagi memeriahkan majlis ini. Selamat Hari Raya Aidilfitri.



Wednesday, October 1, 2008

SALAM AIDILFITRI ...