Pengumuman

Blog ini sudah berpindah ke alamat baru

www.nohomar.com .

 Blog ini masih akan mendapat update dan pautan posting terkini dari Blog baru.

Terima Kasih kepada semua pengunjung Blog Hati Malaya.

Wednesday, April 29, 2009

RESPON DARI TEKUN

Salam sejahtera kepada para blogger..setelah pelbagai aduan yang saya terima berkaitan dengan pembiayaan TEKUN di blog ini..maka saya telah meminta CEO TEKUN,Dato'Rahim untuk memberi laporan kepada saya berkenaan dengan situasi sebenar yang berlaku.Berikut adalah maklum balas yang diberikan :

Salam Hormat YB Dato' Noh dan semua pengunjung blog ini,

Dengan hormat dan takzimnya, pihak TEKUN Nasional ingin memberikan jawapan kepada aduan yang dikemukakan di laman blog ini.

Terlebih dahulu, selaku Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif TEKUN Nasional, saya ingin memohon maaf di atas kesulitan yang dihadapi oleh semua pengadu.

Untuk makluman, semua permohonan untuk mendapatkan pembiayaan pinjaman dari pihak TEKUN Nasional masakini terdapat kelewatan dalam urusan memproses permohonan tersebut disebabkan oleh jumlah permohonan pinjaman yang diterima oleh TEKUN Nasional mulai awal tahun ini adalah diluar jangkaan. Dalam tempoh tiga bulan pertama sahaja tahun 2009 ini, pihak TEKUN Nasional telah meluluskan dan mengeluarkan pembiayaan pinjaman sebanyak RM 162 juta kepada 14,391 orang usahawan. Dalam masa yang sama juga, sehingga 15 April 2009, TEKUN Nasional sedang memproses permohonan pembiayaan pinjaman dari 8,904 orang pemohon dengan nilai permohonan sebanyak RM 221 juta. Untuk makluman semua pihak, pembiayaan pinjaman yang telah dikeluarkan oleh TEKUN Nasional pada tahun 2008 adalah berjumlah RM 358 juta berbanding dengan pembiayaan yang dikeluarkan pada tahun 2007 adalah hanya RM 127 juta.

Pada tahun ini jumlah permohonan pembiayaan dijangka akan terus meningkat disebabkan oleh kegawatan ekonomi yang mendorong ramai rakyat negara ini menceburi bidang usaha niaga bagi menjana pendapatan mereka lebih-lebih lagi dikalangan mereka yang diberhentikan kerja. Oleh yang demikian TEKUN Nasional telah menjadi institusi tumpuan bagi mendapatkan pembiayaan pinjaman perniagaan.

Disamping itu, dalam kesempatan ini juga, saya ingin merayu kepada para peminjam dan usahawan TEKUN yang sediada, supaya dapat membuat bayaran balik pinjaman mereka sepertimana yang dijanjikan, oleh kerana wang bayaran balik tersebut yang diterima oleh TEKUN Nasional akan disalurkan pula kepada pemohon-pemohon yang baru. Sekiranya bayaran balik ini lambat diterima oleh TEKUN Nasional, maka ianya juga akan menyebabkan kelewatan menyalurkan pembiayaan pinjaman kepada pemohon-pemohon yang baru yang memerlukan.

Adalah juga dimaklumkan, sekiranya para usahawan TEKUN menghadapi masalah dalam membuat bayaran balik pinjaman mereka disebabkan oleh kegawatan ekonomi, maka mereka bolehlah menghubungi pegawai-pegawai TEKUN di Pejabat-pejabat TEKUN yang mereka berurusan diseluruh negara untuk menjadualkan semula pembayaran balik pinjaman mereka.

Sehubungan dengan ini juga, TEKUN Nasional ingin memaklumkan bahawa semua permohonan yang diterima oleh Pejabat TEKUN diseluruh negara akan diproses dan diberi pertimbangan yang sewajarnya secepat yang mungkin.

Sekiranya saudara dan saudari mempunyai sebarang masalah dan kesulitan berhubung dengan permohonan pembiayaan dengan TEKUN Nasional harap dapat hubungi Unit Pengaduan Awam di bawah Jabatan Pemantauan dan Tugas-Tugas Khas TEKUN Nasional ditalian 03-90588550 atau e-mail terus kepada Encik Mohd Yusri Mohd Yusob, Ketua Jabatan berkenaan menerusi : yusri@tekun.gov.my

Bagi pihak TEKUN Nasional, saya juga ingin memohon maaf kepada semua pemohon yang terlewat mendapatkan pembiayaan pinjaman mereka. Insya Allah, saya dan warga kerja TEKUN Nasional diseluruh negara akan mempertingkatkan lagi kecekapan kami dari masa ke semasa bagi memantapkan lagi Sistem Penyampaian TEKUN Nasional selaras dengan amalan penambahbaikan berterusan TEKUN Nasional. Kami juga komited untuk memberikan perkhidmatan yang lebih cemerlang di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani. Insya Allah.

Sekian, Untuk makluman. Terima Kasih.

DATUK ABDUL RAHIM BIN HASSAN
Pengarah Urusan & Ketua Pegawai Eksekutif
TEKUN Nasional.

Monday, April 27, 2009

PAKATAN RAKYAT JANGAN DOK CARI SALAH ORANG !!!

Kenyataan saya berkenaan dengan tindakan kementerian saya untuk tidak melayan pengesahan sesuatu permohonan bantuan yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di empat buah negeri yang ditadbir pakatan pembangkang telah mendapat reaksi positif dan negatif dari pelbagai pihak.

Saya ada membaca komen beberapa pihak termasuklah kenyataan YB Tuan Ean Yong Hian Wah,EXCO Negeri Selangor di laman SelangorKini Online yang mengecam tindakan ini dan mengatakan Kerajaan Barisan Nasional tidak bertanggungjawab menggunakan wang rakyat untuk meraih sokongan politik daripada golongan petani.Tidak kurang juga yang mengatakan tindakan ini adalah untuk saya meraih populariti tanpa memikirkan kepentingan rakyat.

Saya tegaskan di sini bahawa apa yang dilakukan adalah untuk menjaga kepentingan parti Barisan Nasional dan para penyokong.Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan(JKKKP)adalah saluran khas yang diwujudkan di empat buah negeri yang ditadbir pakatan pembangkang bagi memastikan semua rakyat mendapat bantuan terus dari Kerajaan Pusat termasuk dalam pembangunan pertanian.Ini adalah penting bagi membolehkan rakyat tahu bahawa bantuan yang disalurkan ini adalah daripada Kerajaan Pusat seterusnya mengelakkan perkara ini dipolitikkan pihak pembangkang.Jadi tidak timbul soal Kerajaan Pusat membeza-bezakan rakyat dalam soal memberi bantuan. Malah cara ini membolehkan kita memastikan seluruh rakyat yang layak,menerima bantuan sepatutnya tanpa ada keciciran. Lagipun pakatan pembangkang menjanjikan pelbagai bantuan kepada rakyat pada pilihan raya umum lalu..jadi eloklah mereka mengotakan janji-janji mereka kepada rakyat terlebih dahulu sebelum mencari salah orang lain.

Saya juga mendapat tahu banyak tindakan Pakatan Rakyat yang juga bertentangan dengan hasrat rakyat seperti menggunakan taktik kotor dengan memaksa rakyat mengisi borang-borang keahlian parti-parti gabungan PR sebelum sebarang bantuan dapat diberikan mahupun yang ingin berurusan dengannya seperti mendapat tender dan kontrak kerajaan negeri.Sebagai contoh di Selangor,permohonan kontraktor kelas F hanya boleh diluluskan sekiranya mendapat sokongan wakil rakyat PKR.Jangan Kerajaan Negeri Selangor menidakkan fakta ini.Jadi apa salahnya saya mengenakan syarat iaitu jika nak berurusan dengan MOA,badan pusat maka perlulah mendapat sokongan JKKKP dan bukannya JKKK! Saya tak minta rakyat isi borang UMNO, MCA, MIC atau Gerakan pun..!!

Saturday, April 18, 2009

JKKK di Negeri Pembangkang Tidak Dilayan

KUALA SELANGOR 16 April – Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani tidak akan melayan pengesahan sesuatu permohonan bantuan yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di empat negeri yang ditadbir pakatan pembangkang.

Menterinya, Datuk Noh Omar berkata, arahan itu selaras dengan surat pekeliling yang diputuskan oleh Kabinet bagi mengelak bantuan berkenaan dipolitikkan oleh pihak tidak bertanggungjawab sehingga menimbulkan kekeliruan rakyat di Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Selangor.

Beliau menjelaskan, pertimbangan untuk meluluskan bantuan atau insentif menerusi kementerian tersebut mesti mendapat pengesahan daripada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP).

Katanya, JKKKP merupakan satu saluran yang disediakan khas bagi memastikan semua rakyat mendapat bantuan secara terus daripada Kerajaan Pusat termasuk dalam pembangunan pertanian.

“Pengesahan ini penting bagi membolehkan rakyat tahu bahawa bantuan untuk sektor pertanian adalah daripada Kerajaan Pusat selain menggelak perkara ini dipolitikkan pihak tertentu terutamanya pihak pembangkang.

“Malah saya difahamkan di Selangor, kerajaan negeri mempunyai peruntukan sebanyak RM15 juta untuk pembangunan pertanian.

“Maka, adalah lebih baik kerajaan negeri pimpinan pakatan pembangkang memberi bantuan itu kepada rakyat seperti yang dijanjikan mereka pada pilihan raya umum lalu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis perasmian Hari Bertemu Pelanggan sempena Bulan Tanaman kementeriannya di Pusat Pengeluaran Benih Padi Jabatan Pertanian Sungai Burong di sini hari ini.

Tambah Noh, arahan sedemikian tidak bermakna Kerajaan Pusat membeza-bezakan rakyat dalam soal pemberian bantuan, sebaliknya, ia dibuat bagi memastikan seluruh rakyat yang layak menerima bantuan tersebut secara terus tanpa berlakunya masalah keciciran.

Katanya, perkara itu berbeza dengan kerajaan pimpinan pakatan pembangkang seperti di Selangor apabila mereka meletakan syarat permohonan untuk kontraktor kelas F hanya boleh diluluskan sekiranya mendapat sokongan wakil rakyat daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Sumber:Utusan Malaysia

Tuesday, April 14, 2009

MeCD Dalam Kenangan..MOA Membenih Kejayaan..

Lambaian terakhir kepada semua kakitangan Kementerian Pembangunan Usahawan Dan Koperasi serta seluruh agensi di bawahnya...
Wajah-wajah yang telah banyak membantu sepanjang saya berkhidmat di MeCD..jasa kalian tetap dikenang..
Hari pertama di Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani. Majlis Serah Tugas oleh mantan menteri, Dato' Mustapha Mohammed sambil diperhatikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian baru saya, Dato' Mokhtar.


Sebuah buku...simbolik sebuah amanah yang dipertanggungjawabkan dan akan saya laksanakan sebaik mungkin..dengan sokongan dan kerjasama semua..bantu saya!


Bermulalah tugas saya untuk membangunkan sektor pertanian negara..dan ini adalah kesempatan pertama saya untuk melihat ruang pameran dan gerai jualan hasil-hasil tani yang diadakan sempena Bulan Tanaman di lobi kementerian baru saya.

Alhamdulillah..ketemu lagi kita di ruangan ini. Inilah kesempatan saya yang pertama berbual bicara bersama bloggers semenjak dari transisi kabinet baru di bawah kepimpinan YAB Dato' Seri Najib Tun Razak. Terima kasih di atas sokongan dan kerjasama rakyat yang membuatkan saya masih lagi berpeluang untuk menabur khidmat dan bakti kepada nusa dan bangsa.Walaupun kapal yang telah saya kemudi tidak lagi akan belayar namun apa yang pasti ia tidak tenggelam,semangat tetap ada dan akan terus saya perjuangkan.

Terima kasih sekali lagi di atas semua pandangan dan komen yang telah saudara dan saudari hantar ke blog ini.Saya amat terharu dengan keprihatinan yang ditunjukkan oleh semua. Saya tahu ramai yang merasa kecewa dan ada yang tidak berpuas hati dengan keputusan pembubaran Kementerian Pembangunan Usahawan Dan Koperasi yang dilihat sebagai sebuah kementerian untuk Orang Melayu. Dimana-mana saya pergi pun, orang ramai bertanya apa sudah jadi dengan agenda Melayu..?Namun saya yakin YAB Perdana Menteri lebih tahu apa yang telah diputuskan olehnya dan sudah tentu ada rahmat di sebalik apa yang berlaku ini.

Setelah mendapat taklimat yang pertama di Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani,adalah jelas bahawa usaha untuk membangunkan masyarakat perdagangan dan perindustrian Bumiputera ini bukan hanya terletak di bahu MeCD bahkan terletak di semua jentera pentadbiran kerajaan.Maka dengan itu,saya akan meneruskan misi dan visi yang sama walaupun kementerian yang berbeza.

Wednesday, April 1, 2009

TERIMA KASIH SEMUA...

Jutaan terima kasih saya kepada teman-teman bloggers dan para pengunjung laman blog ini atas ucapan tahniah yang diberikan kepada saya kerana memenangi tempat kedua bagi kerusi Majlis Tertinggi UMNO dalam pemilihan UMNO baru-baru ini. Terima kasih juga atas segala sokongan, doa dan kerjasama yang diberikan kepada saya selama ini.

Bagi saya apa jua pandangan, cadangan dan kritikan daripada saudara-saudari, saya terima dengan hati yang terbuka. Dalam usaha penambahbaikan sistem penyampaian dan mutu perkhidmatan, banyak isu berbangkit yang dikemukakan di laman blog ini dapat diselesaikan dengan baik hasil kerjasama semua pihak. Malah saudara-saudari turut memberi sumbangan bermakna dalam setiap keputusan saya yang berkaitan dengan perlaksanaan dasar-dasar pembangunan dan sistem penyampaian Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi serta agensi-agensi di bawah kementerian ini.

Kesempatan ini juga saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada seluruh warga Kementerian dan agensi-agensi di bawahnya di atas segala kerjasama dan sumbangan mereka selama ini. Tidak mungkin bagi saya untuk melaksanakan tanggungjawab yang dipikul ini bersendirian tanpa mereka.

Harapan saya...agar saudara-saudari akan terus bersama saya di blog ini. Kejayaan saya adalah juga kejayaan saudara-saudari...kejayaan warga kementerian dan agensi MeCD...kejayaan kita semua!