Pengumuman

Blog ini sudah berpindah ke alamat baru

www.nohomar.com .

 Blog ini masih akan mendapat update dan pautan posting terkini dari Blog baru.

Terima Kasih kepada semua pengunjung Blog Hati Malaya.

Friday, December 26, 2008

UNIVERSITI MALAYSIA JEPUN (MAJU)

Suka saya kongsi berita gembira dengan bloggers di sini bahawa baru-baru ini, Kabinet telah bersetuju menubuhkan sebuah lagi universiti swasta di bawah pengurusan Majlis Amanah Rakyat (Mara) yang dikenali sebagai Universiti Malaysia Jepun (Maju) dan akan memulakan sesi pengajian pada Julai 2009. Buat permulaan universiti ini akan menggunakan kampus Kolej Kemahiran Tinggi Mara di Branang, Selangor sebagai pusat pengajiannya dengan pengambilan pertama seramai 70 pelajar lepasan STPM.

Sebenarnya,penubuhan universiti ini dirancang sejak tahun 2001 lagi dan melibatkan kerjasama kerajaan Jepun sehubungan itu, kerajaan Jepun melalui syarikat swastanya di negara ini akan menyediakan peralatan pembelajaran, selain membekalkan 15 orang profesor sebagai tenaga pengajar di universiti itu nanti. Dari segi sistem pendidikannya pula adalah 100 peratus mengikut sistem teknologi Jepun.

Besarlah harapan saya agar dengan tertubuhnya universiti yang kedua di bawah MARA ini iaitu selepas UNIKL, akan lebih ramai lagi anak-anak kita terutamanya di kawasan-kawasan luar bandar mendapat peluang pendidikan yang lebih baik seterusnya menjadi masyarakat penyumbang ke arah kebaikkan kepada agama, bangsa dan negara. Kita juga sedang berusaha untuk menaik taraf GMI agar menjadi sebuah lagi intitusi pendidikan tinggi yang bertaraf universiti di Malaysia. InsyaAllah...

Wednesday, December 17, 2008

TIGA KOPERASI DISERBU !!!

Saya ingin menasihatkan orang ramai agar berhati-hati dan tidak mudah terpengaruh dengan dengan mana-mana koperasi yang menawarkan skim pelaburan denga pulangan tetap yang tinggi dan tidak munasabah.

Kita sudah dapat mengenalpasti dan Suruhanajaya Koperasi Malaysia bersama Bank Negara Malaysia telah pun menjalankan serbuan pada 16 Disember lalu ke atas tiga buah koperasi yang terlibat. Koperasi tersebut adalah seperti berikut :

1) Koperasi Taqwa Malaysia Berhad (KOTAQWA)
2) Koperasi Usahawan Malaysia Berhad (KUMB)
3) Koperasi Birr Berhad (Birr)

Saya difahamkan, pihak koperasi terbabit menjalankan skim pelaburan yang dikenali sebagai Skim Simpanan Khas Al-Mudharabah dan Skim Usahawan Ternakan yang menawarkan pulangan lumayan antara 8%-12 % sebulan atas modal pelaburan. Pelbagai cara digunakan untuk memperdayakan para pelabur . Antaranya mendakwa melaksanakan projek-projek seperti pembekalan alat ganti kapal, ternakan lembu, penanaman rumpai laut, penangkapan ikan laut dalam, pembekalan barangan pengguna dan sebagainya.

Tindakan koperasi-koperasi di atas mengutip pelaburan bercirikan skim cepat kaya adalah satu kesalahan di bawah Akta Koperasi 1993.

Saturday, December 13, 2008

BERAT MATA MEMANDANG....

Minggu lepas, saya berkesempatan melawat kawasan tragedi tanah runtuh di Bukit Antarabangsa bersama dengan sahabat lama saya, Dato Ismail Kijo. Suasana pilu menyelubungi seluruh kawasan. Saya sangat bersimpati dengan ahli keluarga yang terlibat dengan kehilangan nyawa dan kemusnahan harta benda semasa tragedi itu berlaku. Berat mata memandang...berat lagi bahu yang memikul..saya harap mereka semua terus tabah dalam menghadapi dugaan ini.

Sepanjang berada di sana, saya telah diberi taklimat oleh beberapa pihak yang terlibat membantu seperti tentera, Persatuan Bulan Sabit Merah,KEMAS dan tidak ketinggalan juga UMNO Bahagian Bukit Antarabangsa. Kesempatan ini saya ingin melahirkan rasa terima kasih yang tidak terhingga di atas kerjasama dan bantuan yang telah diberikan oleh semua yang terlibat dan juga di atas keprihatinan seluruh rakyat Malaysia terhadap tragedi ini.

Saya juga sempat mengadakan pertemuan dengan Persatuan Pemandu Teksi Ampang yang mana kita telah sama-sama berbincang akan bantuan yang boleh kita hulurkan kepada mangsa-mangsa tragedi. Akhir sesi, kita telah bersetuju memberi khidmat pengangkutan teksi untuk membawa mereka dan juga barang keperluan yang berjaya diselamatkan kemana-mana destinasi secara percuma.

Sebelum pulang, saya sempat bertemu dengan seorang warga kerja MARA dan keluarganya yang juga terlibat di dalam tragedi tanah runtuh itu.


Beberapa jam meluangkan masa di kawasan tragedi itu benar-benar memberikan saya sebuah pengalaman yang berharga dan tak mampu untuk diterjemahkan dengan kata-kata...Walau apapun yang berlaku...Hidup adalah sebuah perjalanan..dan ia perlu diteruskan selagi belum sampai ke destinasinya..

Monday, December 8, 2008

SALAM AIDIL ADHA...

Di kesempatan ini, saya dan keluarga ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidil Adha kepada bloggers dan juga semua yang telah sudi melayari dan sama-sama mengambil bahagian di blog ini. Harapan saya agar anda semua akan terus memberi sokongan kepada blog ini.

Semoga keikhlasan Nabi Ismail A.S dan ketaqwaan Nabi Ibrahim A.S menjadi iktibar untuk kita semua meneruskan perjuangan Agama, Bangsa dan Negara yang tercinta.

Salam Aidil Adha...

Friday, December 5, 2008

PERASMIAN KAMPUS BARU GERMAN-MALAYSIAN INSTITUTE(GMI)


German-Malaysian Institute (GMI) merupakan projek kerjasama dua hala antara Malaysia dan Jerman semenjak 1992. Apa yang saya lihat hari ini, jalinan kerjasama ini semakin mantap dan terus-terusan melahirkan tenaga kerja mahir yang mendukung aspirasi Malaysia sebagai negara maju menjelang 2020. GMI yang sebelum ini berkampus di Cheras sudah pun meluaskan empayar ilmunya dengan pembukaan kampus baru di Taman Universiti, Kajang yang saya rasmikan semalam.

Rasa kagum terbit dalam diri saya tatkala dibawa melawat makmal-makmal praktikal pelajar yang mempamerkan pelbagai hasil ciptaan canggih yang berasaskan bidang pelajaran mereka.Tidak hairanlah apabila GMI telah dilantik oleh beberapa Kementerian sebagai Konsultan untuk menggerakkan beberapa inisiatif Nasional seperti 'National Dual Training System' dan 'Pro 3 Based Learning'. GMI juga diberi kepercayaan untuk melatih pelatih antarabangsa dari Indonesia,Sudan dan Vietnam.

Pada mulanya saya bercadang hendak meletakkan GMI di bawah UNIKL tetapi apabila dipikir-pikir...saya membuat keputusan...eloklah GMI berdiri sendiri kerana dengan prestasi yang ditonjolkan ini, saya yakin,usaha menaik taraf institut ini kepada 'Kolej Universiti' akan berjaya dan saya berjanji yang Pihak Kementerian akan memberikan bantuan yang diperlukan agar usaha tersebut dapat terlaksana.

Selain dari teks ucapan perasmian saya, di sini juga saya ingin mengucapkan terima kasih sekali lagi kepada Kerajaan Jerman,Malaysian-German Chamber of Commerce and Industry(MGCC), sektor swasta,pihak terlibat dan paling tidak boleh dilupakan Majlis Amanah Rakyat (MARA)yang menjadi tulang belakang menyokong peranan GMI ini. Bercakap mengenai MARA, saya telah mengarahkan pihak institut agar menjadikan sejarah penubuhan MARA sebagai satu silibus dalam matapelajaran kesemua pelajar disitu. Relevannya pengajaran silibus ini adalah untuk mengajak pelajar-pelajar yang rata-ratanya mendapat pembiayaan pendidikan MARA, sama-sama mengenang dan tahu berterima kasih akan jasa besar MARA dalam bidang pendidikan selama ini. Setakat ini, MARA sudah ada sebuah universiti yang dinamakan UNIKL, ada Kolej Kemahiran Tinggi,Kolej Professional dan Kolej Politek MARA yang dalam cadangan untuk dinaik taraf kepada Kolej Universiti dan sekarang kita ada lagi GMI yang juga berusaha gigih ke arah itu...Jadi, tidak ada sebab mengapa kita tidak mahu berterima kasih kepada MARA.

Akhir kata, Selamat Maju Jaya kepada semua...!!!