Pengumuman

Blog ini sudah berpindah ke alamat baru

www.nohomar.com .

 Blog ini masih akan mendapat update dan pautan posting terkini dari Blog baru.

Terima Kasih kepada semua pengunjung Blog Hati Malaya.

Friday, November 28, 2008

LAWATAN KE PASAR KERAMAT


Pasar Dato’ Keramat adalah antara beberapa pasar lama selain di Pasar Chow Kit dan Pasar Pudu yang masih beroperasi di ibunegara. Jika di Pudu rata-rata peniaganya adalah terdiri daripada bukan melayu, pasar Chow Kit pula dikuasai oleh peniaga pendatang tetapi alhamdulillah para peniaga dan penjaja melayu masih bertahan utuh di Pasar Dato’ Keramat yang telah ditubuhkan lebih 40 tahun yang lalu.

Kita berasa bangga dengan dengan daya tahan para peniaga Melayu di pasar tersebut, walaupun keadaan bangunan semakin dimamah usia dan usang namun suasana perniagaan di situ tetap rancak dan memberi keuntungan kepada para peniaga.

Dalam kesibukan di pasar Dato’ Keramat, diam tak diam sebuah bangunan baru Pasar Keramat sudahpun hampir siap dan dijangka beroperasi awal tahun depan. Namun begitu, kehadiran bangunan baru ini nampaknya kurang disenangi oleh para paniaga dan memberi pelbagai alasan untuk tidak dipindahkan ke pasar baru itu.

Atas permintaan mereka, hari ini saya bersama Menteri Wilayah Persekutuan Dato’ Zul Hasnan Rafique melawat ke Bangunan Pasar Baru dan mendapat taklimat daripada pengurus projek bangunan berkenaan. Hadir sama Ahli parlimen Titiwangsa YB Dr Lolo Dato Ghazali. Selepas mendengar taklimat selama lebih kurang sejam, kami pun dibawa melawat segala kemudahan yang disediakan di situ termasuklah ruang niaga peniaga ikan, sayuran, bahan kering, pasar basah dan kemudahan lain. Kermudahan yang disediakan di pasar tersebut benar-benar mencerminkan sebuah Pasar Moden yang bertujuan memberi keselesaan kepada semua pihak yakni pengguna dan penjaja. Walaubagaimanapun terdapat beberapa aspek yang dikira tidak sesuai dan menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan peniaga di situ. Namun begitu,dengan adanya perbincangan kedua-dua belah pihak,saya yakin masalah ini dapat diselesaikan.

Apapun pesan saya kepada para peniaga di pasar Dato’ Keramat, hendaklah bersedia dan sanggup menerima perubahan dalam apa kes sekali pun kerana hanya mereka yang sanggup menerima dan membuat perubahan akan berjaya dalam persaingan dunia yang semakin sengit. Dalam kes peniaga Pasar Keramat ini, mereka perlu mengubah budaya dan cara niaga mereka dari persekitaran tradisional kepada persekitaran moden. Kita selalu bercakap bahawa sampai bila peniaga Melayu perlu berada di pinggiran, tetapi jika peniaga tidak sanggup duduk di depan walaupun diberi peluang, maka salah siapa lagi...?

Dalam hal ini DBKL telah berusaha untuk meningkatkan taraf peniaga Pasar Dato’ Keramat tetapi para peniaga sendiri berasa kurang selesa untuk berpindah, kita tidak boleh salahkan DBKL. Kepada para peniaga dan penjaja saya berharap mereka dapat melihat perpindahan ke pasar baru dengan lebih positif.

Dalam pada itu saya telah mencadangkan kepada para peniaga dan penjaja Pasar Keramat supaya menubuhkan koperasi. Banyak manfaat mereka perolehi jika mereka bersatu di bawah koperasi sendiri. Koperasi yang ditubuhkan boleh dibangunkan sebagai sebuah entiti perniagaan. Keuntungan daripada perniagaan koperasi kelak boleh dinikmati oleh kesemua ahli dalam bentuk dividen tahunan.


Saya sempat juga menyinggah di pasar lama Keramat untuk melihat sendiri keadaan peniaga-peniaga di sana dan sesi turun padang hari itu diakhiri dengan makan tengahari yang menyelerakan digerai ikan bakar berhadapan dengan pasar lama Keramat bersama dengan ahli-ahli persatuan peniaga di situ.

Thursday, November 20, 2008

USAHAWAN TEKNO

Selamat berangkat kepada delegasi 20 orang mahasiswa UNIKL MIAT ke Jakarta, Indonesia yang terlibat dengan Program Grooming Big UniKL. Misi lawatan ini adalah untuk mencapai matlamat yang kita harapkan yakni membentuk usahawan tekno dalam bidang penerbangan dan aeroangkasa.

Kementerian saya, di bawah Skim Pembangunan Usahawan-Tekno di bawah Program Grooming Big Teknoputra (PGBT) Siswa UniKL telah menyediakan geran khas sebanyak RM 1 juta setahun untuk membangunkan 1000 orang usahawan-tekno menjelang 2010. Matlamat PGBT ialah melahirkan usahawan-tekno yang benar-benar tulen dan berdaya maju serta berupaya meneruskan cabaran menjadi usahawan-tekno cemerlang.

Untuk makluman pembaca semua, Usahawan Tekno adalah usahawan yang teras perniagaan mereka adalah berintensifkan teknologi dalam industri-industri strategik seperti elektronik, automotif, penerbangan, telekomunikasi, bio-engineering, teknologi maklumat, marin, minyak dan gas&kimia. Ushawan-tekno merealisasikan aktiviti perniagaan melalui eksploitasi dan aplikasi berasaskan teknologi dan inovasi. Mereka mempunyai kesanggupan mengambil risiko menghasilkan produk atau perkhidmatan inovatif melalui proses pengkomersilan teknologi yang kompleks.

Ini merupakan salah satu usaha kita dalam memenuhi agenda utama misi nasional yang telah digariskan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri iaitu Pembangunan Usahawan. Asas kepada misi nasional pula ialah membangunkan Masyarakat Perdagangan dan Perindustrian Bumiputera. Saya menyeru kepada semua pihak agar turut serta dalam menjayakan misi nasional ini.

Monday, November 17, 2008

JASA MU DIKENANG...


Pisang emas dibawa belayar
Masak sebiji di atas peti
Hutang MARA boleh dibayar
Hutang budi dibawa mati...

Pulau pandan jauh ke tengah
Gunung Daik bercabang tiga
Hancur badan dikandung tanah
Budi yang baik dikenang jua..

Minggu lepas saya menghadiri Malam Penghargaan dan Jamuan Tahunan MARA 2008. Malam ini meraikan 108 orang pesara dan 207 warga kerja yang telah berkhidmat melebihi 25 tahun dengan MARA. Syabas!

Satu pesan saya kepada mereka yang bersara, curahkan pengalaman dan kepakaran kepada organisasi. Janganlah jadikan persaraan sebagai alasan untuk kita tidak menghiraukan lagi perjuangan MARA kerana sesungguhnya generasi hari ini dan akan datang memerlukan anda semua.

Pesan saya kepada mereka yang berkhidmat melebihi 25 tahun pula, janganlah jadikan kematangan ini sebagai "comfort zone" sehingga tidak boleh ditegur atau menerima sesuatu pandangan. Berusahalah untuk terus memberikan komitmen yang terbaik dalam memperjuangkan nasib bangsa.

Kepada semua, ingin saya berkongsi..kita dapat melihat sendiri pembangunan dan kemajuan yang telah dijana oleh MARA hasil komitmen seluruh warga kerja MARA. Antara kejayaan yang telah terbukti semenjak 42 tahun penubuhan MARA dalam bidang pendidikan khususnya, penubuhan UiTM (1957), IKM(1968), Yayasan Pelajaran MARA(1969), MRSM (1972), GIATMARA(1986),IKTM,GMI, BMI dan MFI. Hari ini kita sudah berjaya menambah nilai kepada mutu pendidikan MARA.

Mulai tahun ini, saya telah mengarahkan pihak MARA untuk kembali kepada objektif penubuhan MRSM iaitu memberi keutamaan kepada pelajar-pelajar yang cemerlang di luar bandar bagi mengisi tempat di MRSM dengan nisbah kuota sebanyak 70% pelajar luar bandar dan 30% pelajar di kawasan bandar. Ini adalah untuk memberi ruang dan peluang pendidikan yang lebih baik kepada anak-anak kita di luar bandar khususnya dari kalangan yang kurang berkemampuan.

Dari segi keusahawanan pula, tidak boleh dinafikan jasa MARA dalam melahirkan ramai golongan usahawan kecil dan sederhana dalam pelbagai bidang. Ramai usahawan yang telah mendapat manfaat dari kemudahan pembiayaan perniagaan MARA.

Jadi hari ini, jika diimbau sejarah penubuhan MARA yang mungkin saya akan kongsi dengan pembaca di lain hari nanti, yang mana peranan MARA yang dulu dikenali sebagai RIDA sebagai agen perubahan terbukti meninggalkan kesan positif melalui prinsip "Mahu Menolong Diri Sendiri" sebagaimana dilaungkan oleh Allahyarham Dato' Onn Ja'afar.

Berbalik kepada cerita asal kita di atas, saya sangat yakin, berdirinya MARA hari ini adalah hasil dari usaha dan komitmen warga kerja MARA yang terdahulu dan sekarang. Ia tidak dapat dinilai dengan kata-kata...segala jasa baik ini tidak dapat kami balas. Semoga ia mendapat ganjaran di akhirat kelak. Insya Allah.

Thursday, November 13, 2008

SEKITAR LAWATAN KE PERTAMA KOMPLEKS...







LAWATAN MENGEJUT KE PREMIS PERNIAGAAN DI KOMPLEKS PERTAMA

Semalam, Rabu, setelah seharian menerima kunjungan orang ramai di pejabat saya, di tingkat 26, Bangunan MARA bersebelahan dengan Kompleks Pertama, Kuala Lumpur, kira-kira jam 7 ptg, saya telah membuat lawatan mengejut ke kompleks tersebut.

Tujuan saya adalah untuk melihat suasana perniagaan khususnya perkembangan peniaga melayu di situ yang telah bertahun-tahun lamanya berniaga di ruang kedai sewaan UDA. Kompleks Pertama adalah antara kompleks membeli belah yang terkenal di ibu negara dan dirikan pada penghujung tahun 70an oleh UDA, agensi yg di amanah dan di pertanggungjawabkan untuk membangunkan Melayu bandar dengan menyediakan kemudahan perumahan dan peluang ekonomi termasuklah premis perniagaan.

Tiga kompleks UDA yang terkenal di ibu kota iaitu Pudu Raya, Plaza Bukit Bintang dan Kompleks Pertama. Kewujudan tiga kompleks ini membuka peluang kepada orang melayu untuk berniaga secara moden dan bersaing dengan peniaga bangsa lain. Bagi memastikan pemilikan ekuiti bumiputera dalam bidang hartanah tidak terhakis maka premis dan lot perniagaan ini tidak dijual dan hanya untuk sewaan sahaja. Oleh kerana kebanyakkan para peniaga di sini telah lebih 30 tahun menyewa maka ada yang menyatakan kepada saya untuk memiliki lot perniagaan ini dan desakan ke arah itu semakin kuat.

Sepanjang tinjauan saya ke Kompleks Pertama, saya dapati banyak perkara boleh diperbaiki bukan sahaja demi kepentingan peniaga bahkan imej UDA sebagai GLC. Sebagai salah sebuah kompleks terkenal dan berada di tengah-tengah bandaraya Kuala Lumpur, memang tidak sepatutnya keadaan yang tidak sedap mata memandang seperti yang saya lihat di bahagian medan selera, di tingkat 3,4,5 yang kelihatan tidak bermaya dan di bahagian lobi bangunan kompleks itu yang sangat padat. Susunan kedai yang tidak teratur malah suasana ruang perniagaan antara peniaga melayu dan bukan melayu amat kontras sekali. Orang lain sudah berubah, kita masih ditakuk lama, bila di tanya kenapa tidak dibuat pengubahsuaian kedai supaya lebih ceria, jawapan mereka, tidak ada duit, lagipun premis itu hanyalah disewa, bukannya milik sendiri. Apakah alasan yg diberi ini boleh meningkatkan perniagaan orang Melayu..??

Oleh yang sedemikian, saya telah mencadangkan kepada UDA supaya menggalakkan penyewa-penyewa membuat pengubahsuaian premis perniagaan mengikut konsep perniagaan masing-masing dan diskaun terhadap kadar sewa akan diberikan kepada mereka yang terlibat. Dengan itu, Kompleks Pertama akan berubah kepada wajah yang lebih baik dan selesa. Secara tidak langsung, ia akan menuju ke arah penjenamaan semula aset dan imej UDA itu sendiri.

Saya yakin, dalam kes ini banyak lagi yang boleh diperbaiki oleh UDA dari segi pengurusan dan pemantauan keseluruhan isu-isu berbangkit. Tetapi harus diingat, sebaik mana pun pengurusan yang disediakan oleh pihak UDA, tanpa kerjasama dari penyewa dan semua pihak yang terlibat, pastinya ia tidak akan membuahkan hasil sebagaimana yang diharapkan. Jadi kesimpulannya di sini, kita semua haruslah bersama-sama saling membantu antara satu sama lain bagi merealisasikan segala kata-kata. Saya sebagai menteri yang bertanggungjawab, akan terus membantu selagi ianya memberi kebaikan untuk semua.

Wednesday, November 12, 2008

KEGIATAN KOPERASI PALSU...AWAS!!!

Kelmarin, saya berkesempatan merasmikan seminar 'Perniagaan Melalui Internet Di Dalam Gerakan Koperasi' yang dianjurkan oleh Maktab Kerjasama Malaysia. Seminar ini bersesuaian dengan senario semasa koperasi yang telah dikenal pasti sebagai sektor ketiga yang boleh membantu menjana pertumbuhan ekonomi negara. Dewasa ini, kemahiran dalam menjalankan urusan perniagaan melalui internet dan portal adalah sangat penting.

Mengikut statistik daripada World Stats, sehingga 31 Disember 2007 terdapat 1.3 billion pengguna internet seluruh dunia. Pengguna internet di Malaysia sahaja berjumlah 14.9 juta orang bersamaan 40.2% daripada keseluruhan penduduk Malaysia. Nah, betapa luasnya pasaran yang bakal diperolehi dengan menggunakan internet sebagai medium pengantaraan perniagaan.

Walaubagaimanapun, ada pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab talah menyalahgunakan nama 'koperasi' dan medium ini. Di sini, saya ingin memaklumkan kepada bloggers di luar sana bahawa Pihak Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) telah mengenalpasti empat koperasi palsu iaitu :

i)Koperasi Nabinco
ii) Koperasi Gagasan Berjaya Enterprise
iii)Koperasi Usahawan Siswazah Gagasan
iv)Koperasi Siswazah Islam Malaysia

Mereka telah mengelirukan orang awam sebagai koperasi yang berdaftar dengan SKM, menawarkan peluang perniagaan, pelaburan dan kemudahan pinjaman yang boleh memberi pulangan keuntungan dalam masa yang singkat, secara tetap, lumayan dan mengenakan kadar kaedah yang amat tinggi serta tempoh bayaran yang terlalu lama sehingga 15 tahun. Mereka menggunakan pelbagai cara seperti iklan dan tawaran melalaui internet, akhbar, email dan risalah-risalah serta menggunakan agen.

Saya menyeru orang ramai supaya berwaspada dengan pihak yang tidak bertanggungjawab ini. Sekiranya anda mempunyai maklumat atau sebarang kemusykilan mengenai koperasi bolehlah menghubungi pihak SKM di talian : 03-20935098 sambungan 5805 /5828.

Sunday, November 9, 2008

ADA APA DENGAN UNIKL...???

Friday, November 7, 2008

Thursday, November 6, 2008

Wednesday, November 5, 2008

BASMI KEMISKINAN MELALUI KOPERASI

Hari ini saya merasa puas sekali kerana menyaksikan sendiri dan merasmikan 4 buah kapal nelayan iaitu 2 buah kapal pukat tunda dan 2 buah pukat jerut yang siap dibina hasil kerjasama Universiti Kuala Lumpur, Koperasi Pembangunan Rakyat Pahang Berhad dan Syarikat WMA Resources Sdn.Bhd bertempat di Kampus UNIKL Mimet, Lumut, Perak. Syabas saya ucapkan kepada semua pihak yang terlibat.

Projek ini merupakan Program Membasmi Kemiskinan Nelayan di bawah MECD melalui koperasi. Sebelum ini berbagai-bagai cara dan berbilion duit telah kerajaan belanjakan untuk tujuan membasmi kemiskinan rakyat tanpa mengira kaum. Kali ini, pendekatannya berbeza, ia dilakukan secara bergotong-royong seperti budaya Melayu lama. Saya kira, dengan cara ini, kita akan lebih berjaya dengan syarat, golongan miskin itu sendiri hendaklah berusaha untuk keluar dari kepompong kemiskinan. Saya selalu bercakap dalam program membasmi kemiskinan khususnya di parlimen saya, Tanjong Karang bahawa dalam apa jua keadaan sekalipun, pendidikan sangat penting. Ibu bapa hendaklah memberi pendidikan terbaik kepada anak-anak. Dengan pendidikan,mereka beroleh pekerjaan yang bagus. Hasilnya, seorang anak memperuntukkan RM300 sebulan untuk ibubapa, kalau 5 orang, sudah mengumpul RM1500. Bagi ibubapa yang tinggal di kampung, itu merupakan jumlah yang agak besar sekaligus dapat menampung keperluan dan merubah kehidupan mereka di kampung.

Berbalik kepada cerita kapal tadi, kira-kira 550 orang nelayan sekitar Rompin, Pekan dan Kuantan akan mendapat manfaat dari program ini. Ahli-ahli Koperasi Pembangunan Rakyat Pahang Berhad akan menikmati faedah dengan wujudnya peluang pekerjaan baru dan berpendapatan purata RM1500 sebulan berbanding RM300 pada masa sekarang. Saya telah meminta para pegawai khususnya di Suruhanjaya Koperasi Malaysia agar program ini juga memberi tumpuan kepada aktiviti hiliran hasil laut yang diperolehi oleh nelayan-nelayan ini nanti. Antaranya, hasil laut akan diproses menjadi keropok, cencaluk dan makanan dalam tin. Kerjasama boleh dilaksanakan dengan SIRIM dan MARDI bagi memantapkan lagi usaha ini.

Sebagai Menteri yang bertanggungjawab, saya tidak mahu melihat produk-produk ini hanya dipasarkan dalam negara sebaliknya menjadi harapan kementerian agar produk-produk ini menembusi pasaran antarabangsa seterusnya menjadikan perkerjaan sebagai nelayan ini satu profesyen yang berpendapatan lumayan. Hari ini, jika diminta anak-anak kita melakar kehidupan seorang nelayan, mereka akan melukis rumah papan yang beratapkan nipah, berbaju lusuh dan sebuah sampan di tepi pantai. Jesteru itu, apa yang diharapkan dari program ini ,suatu hari nanti ia dapat menukar imaginasi anak-anak kita apabila diminta melakar kehidupan seorang nelayan, mereka akan melukis sebuah rumah banglo, sebuah kapal yang dilengkapkan dengan sistem komputer dan tidak lagi berbaju lusuh tetapi mungkin ber ’bush jaket’ menandakan nelayan musim baru sudah mampu untuk hidup senang dan mewah. Semoga Berjaya!