Pengumuman

Blog ini sudah berpindah ke alamat baru

www.nohomar.com .

 Blog ini masih akan mendapat update dan pautan posting terkini dari Blog baru.

Terima Kasih kepada semua pengunjung Blog Hati Malaya.

Thursday, January 29, 2009

BUKTIKAN PEGAWAI SAYA RASUAH

Dalam satu program di Kuala Selangor semalam, saya telah ditanya oleh wartawan mengenai kesulitan usahawan untuk mendapat pinjaman dari agensi pembiaya di bawah kementerian saya dan mendakwa bahawa ada yang cepat dapat tetapi dengan memberi imbuhan kepada pegawai atau dengan kata lain, perlu merasuah pegawai yang terbabit terlebih dahulu bagi mempercepatkan kelulusan permohonan.

Saya mengakui kemungkinan perkara itu berlaku dan saya juga ada menerima aduan mengenai perkara ini termasuklah aduan-aduan di blog ini. Namun begitu, saya tidak dapat mengambil tindakan jika ianya semata-mata aduan tanpa sebarang bukti yang kukuh.

Maka dengan ini, saya berharap agar orang ramai tidak membuat sebarang tuduhan melulu tanpa sebarang bukti. Pengadu perlulah memberi bukti supaya tindakan segera dapat diambil. Jika takut membuat aduan, pengadu boleh memberi nama pegawai atau mana-mana pejabat yang terbabit atau mengadu terus kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang boleh melindungi pengadu.

Pemohon yang bermasalah juga boleh mengadu terus kepada kementerian saya secara bersemuka melalui Jawatankuasa Rayuan yang diwujudkan khusus untuk mendengar rayuan-rayuan pemohon selepas permohonan pertama di tolak. Apa yang telah saya buat sebelum ini, apabila ada pegawai yang didakwa bermasalah, pengadu dan wakil kementerian akan dipanggil bersemuka bagi membincangkan masalah pinjaman dan cara mengatasinya. Dan nampaknya setakat ini, cara sebegitu telah berjaya menyelesaikan beberapa permasalahan yang berbangkit.

Saya berharap agar semua pihak dapat memberi kerjasama bagi menangani masalah ini dalam usaha membangunkan usahawan bumiputera di negara kita.

Friday, January 23, 2009

PERMIT TEKSI INDIVIDU

Semalam saya sempat berdialog dengan lebih kurang 1500 orang pemandu-pemandu teksi sekitar Lembah Klang yang menghadiri Seminar Pemantapan Imej Pengusaha Teksi Lembah Klang seterusnya pada sebelah petang, kami bersama-sama dengan Y.A.B Dato' Sri Mohd Najib bin Tun Abdul Razak, Timbalan Perdana Menteri Malaysia yang merasmikan Majlis Penyampaian Surat Tawaran Kelulusan-Fasa 1 kepada para pemohon lesen teksi individu yang berjaya. Sebanyak 7,566 permohonan dari seluruh semenanjung diterima oleh LPKP dan dari jumlah itu,pengeluaran lesen tersebut akan dilakukan secara berperingkat-peringkat bermula dengan LPKP Wilayah Tengah.

Melihat kepada raut wajah gembira seramai 1491 orang pemandu teksi yang menerima permit teksi masing-masing, saya sendiri yang pernah bergelumang dalam dunia mereka tentu saja tak dapat menahan perasaan dan tumpang gembira. Setelah bertahun-tahun-tahun lamanya menyewa teksi untuk mencari rezeki, pemberian permit ini sudah tentu membawa makna yang amat besar kepada mereka.

Bak kata Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak dalam majlis tersebut yang di adakan di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra, keadilan telah diberikan kepada mereka dan kerajaan Barisan Nasional akan terus berusaha untuk berlaku adil kepada setiap rakyat untuk mencari rezeki yang halal di bumi nan bertuah ini.

Yang pentingnya, pemberian permit teksi individu ini bukanlah momokan Kerajaan Barisan Nasional untuk mengambil hati para pemandu teksi, tetapi ianya adalah satu amanah dan tanggungjawab kepada pemandu teksi di Negara ini untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada pelanggan.

Dalam melaksanakan tugas mereka, pemandu teksi hendaklah meletakkan diri mereka sebagai penumpang, maka dengan cara ini pemandu teksi dapat merasai bagaimana perasaan menjadi penumpang yang mengharapkan layanan yang mesra dan baik daripada pemandu teksi.

Saya percaya ramai di kalangan pemandu teksi di Negara ini adalah terdiri daripada mereka yang benar-benar ikhlas menjalankan tugas mereka. Janganlah kerana sebahagian kecil yang berkelakuan buruk yang lainnya terpalit jua.

Wednesday, January 21, 2009

RESPON KEPADA KOMEN ANDA

Terima kasih di atas segala pandangan saudara Anonymous. Tidak ada masalah yang tidak boleh diselesaikan dan tidak ada kepincangan yang tidak boleh diperbaiki. Saya akan terus berusaha selagi diizinkan Allah SWT untuk menerajui MECD saya akan cuba memperbaiki apa jua kelemahan dan kepincangan yang berlaku dalam usaha untuk mengangkat martabat usahawan Melayu.

Mengenai komen dan andaian terhadap PNS. Ingin saya jelaskan bahawa penganjuran Seminar Francais di Port Dickson adalah antara usaha PNS untuk memberi pendedahan mengenai industri Francais kepada usahawan tempatan. Sebelum ini, Francaisor menjalankan Latihan mengikut acuan masing-masing. Kepincangan dalam menjalankan Latihan akan menyebabkan kurangnya keberkesanan sistem Francais ini. Oleh itu, PNS mengambil inisiatif untuk menubuhkan Akademi Francais agar Latihan Francais di Malaysia dapat diseragamkan dan dijalankan dengan lebih berkesan.

Dalam pencarian kepakaran, PNS telah mengenalpasti Franchise Academy UK yang berpengalaman luas dalam Latihan francais di UK. PNS telah berpeluang mempelajari formula kejayaan Franchise Academy dan mengambil kesempatan dari Seminar ini untuk membawa Franchise Academy UK ke Malaysia serta berkongsi kepakaran dengan wakil-wakil Francaisor, Perunding Francais, MECD dan kakitangan PNS sendiri. Hasil idea dan maklumbalas daripada seminar akan dibincangkan dengan MECD untuk menubuhkan Akademi Francais di Malaysia.

Thursday, January 8, 2009

MECD MEMPERKASAKAN USAHAWAN

Saya mengajak para blogger semua untuk berkongsi maklumat tentang keusahawanan dan pergerakan koperasi yang menjadi paparan utama majalah Dewan Ekonomi edisi Januari 2009. Saya kira topik-topik yang dikupas cukup menarik dan sangat bermaklumat, sesuai untuk sesiapa sahaja di luar sana yang berminat menjadikan Keusahawanan Sebagai Kerjaya Pilihan. Saya mengalu-alukan percambahan idea yang berkaitan dengan topik-topik yang yang dipaparkan itu dipanjangkan dalam perbincangan dan sembang-sembang kita di blog ini...Gunakanlah sebaik mungkin platform, ruang dan peluang yang ada ke arah kebaikan kita bersama.

Antara Topik Menarik :

RENCANA UTAMA
- TEKUN, MARA dan SME Bank,
Sumber Dana Usahawan
- Pemulihan Ekonomi Melalui Koperasi
- Strategi Baharu Membimbing Melayu
Bertaraf Dunia

WAWANCARA
- TEKUN Wadah Pembangunan
Usahawan Bumiputera

RUANGAN KHAS
- MeCD Memperkasakan Usahawan

SURAT PEMBACA
- Golongan Muda Perlu Rebut Peluang
Menjadi Usahawan

Tuesday, January 6, 2009

RESPON KEPADA KOMEN ANDA...

Kata Awang : AWANG berbelah bahagi langkah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi memperkenal peraturan mewajibkan pengusaha bas, teksi dan lori memperbaharui lesen secara tahunan.
Respon saya : Terima kasih kepada Awang yang prihatin dalam komen di kolum BISIK BISIK, Utusan Malaysia tempohari dan saya mengalu-alukan komen-komen membina seperti ini bagi penambahbaikkan perlaksanaan kita nanti.

Kata Awang : Menurut menterinya Datuk Noh Omar, langkah itu diambil bagi ‘‘memudahkan Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) memantau kesalahan pengusaha tersebut’’.
Awang bukan membantah keputusan itu, tapi setahu Awang, selama ini pun telah menjadi tugas LPKP memantau gelagat buruk pengusaha kenderaan awam terbabit. Apa yang digusarkan, peraturan baru itu hanya akan menebalkan birokrasi di dalam lembaga tersebut.
Respon saya : Sebagaimana yang kita tahu, sekarang ini mereka perlu 'renew' lesen perdagangan mereka setiap 5 tahun sekali. Jadi, macamana LPKP nak kawal ribuan 'public transport' yang beroperasi di seluruh negara. Ada kes yang LPKP panggil pun mereka tak mahu datang. Berdasarkan keadaan ini lah, kita buat keputusan untuk mereka 'renew' lesen tersebut setiap tahun. Pihak kementerian akan mencari jalan terbaik bagi mengelakkan birokrasi seterusnya permudahkan prosedur semakan untuk 'renewal'.

Kata Awang : Persoalannya sekarang bolehkah LPKP memberi jaminan tiada lagi bas, teksi atau lori akan melakukan kesalahan selepas ini?Bagi Awang, apa yang perlu dilakukan oleh LPKP ialah menjalin sinergi lebih strategik dengan pihak penguatkuasa (JPJ, polis dan Puspakom) bagi memastikan peraturan dan undang-undang dipatuhi dan terlaksana.
Respon saya : Tidak ada jaminan bagi memastikan sifar kesalahan di kalangan bas, taksi atau lori tetapi sekurang-kurangnya kita dapat memantau tahap perkhidmatan dan disiplin operasi dan pemandu mereka dengan lebih baik dengan cara kita pertingkatkan syarat-syarat kelulusan lesen mereka itu nanti. Ini adalah kerana kuasa yang ada pada pihak LPKP tidak sama dengan kuasa pihak Polis, JPJ dan PUSPAKOM.

Kata Awang : Selain itu, sudah sampai masa syarat layak memandu kenderaan awam diperketat dan sukatan pemanduan dimantap bagi menghasilkan bakal pemandu yang profesional dan bertanggungjawab.
Awang – Kritis tapi membina.
Respon saya : Apa yang kita hendak laksanakan ini adalah langkah awal kepada apa diperkatakan oleh saudara Awang di atas dan sokongan semua pihak amatlah diperlukan bagi merealisasikan 'Budaya Pemanduan Berhemah dan Selamat' ini . Terima kasih sekali lagi saya ucapkan di atas komen saudara.

Thursday, January 1, 2009

TERUSKAN BERJALAN...!!!

Maal Hijrah 1430 dan Selamat Tahun Baru 2009 diucapkan kepada bloggers yang tidak jemu-jemu memberi sokongan, pandangan, komen dan cadangan kepada saya di blog ini. Terima kasih saya ucapkan dan sesungguhnya peranan anda semualah yang menyuntik semangat saya setiap kali menghadapi kekangan masa untuk terus menulis di blog ini.

Sangat cepat masa berlalu...Terasa baru semalam saya meniti tahun 2008, tup tup.. rupanya hari ini sudahpun melangkah ke hari pertama tahun 2009. Banyak yang saya lalui pada tahun 2008.. berbagai-bagai orang, bermacam ragam yang saya temui.. datang dan pergi. Berpuluh, beratus mungkin juga beribu tempat yang saya lawati.. pelbagai rasa dan perasaan singgah di sanubari.. ada yang hilang dan ada yang terus kekal di dalam hati.. Semuanya memberikan saya seribu satu pengalaman, pengajaran dan ilmu yang sangat berharga, tidak dapat diungkapkan dengan perkataan dan tak mungkin saya perolehi jika tidak melalui, merasainya sendiri.. Saya yakin dan pasti para blogger di luar sana juga sudah tentu mempunyai pengalaman tersendiri.. yang mungkin boleh dikongsi atau hanya untuk diri sendiri. Apa yang penting, itu semua menjadi pedoman bagi kita melalui hari-hari yang akan datang dan memberikan hidup yang lebih matang.

Adakalanya...Kita pohon kekuatan, Allah beri kesulitan untuk jadikan kita kuat. Kita pohon keteguhan hati, Allah beri masalah untuk kita di atasi...Kita pohon keyakinan, Allah beri ujian untuk kita pertingkatkankan iman dan jiwa. Hati saya terdetik..kadangkala kita tak dapat apa yang kita nak tapi kita sentiasa dapat apa yang kita perlukan..apa yang penting, kita jangan berhenti berjalan. Berjalan lah terus ke depan atas nama kehidupan dan yakinlah ada sesuatu yang baik menunggu di hadapan.

Kepada semua, warga kerja MECD, MARA, UDA, SKM, MKM, TEKUN Nasional, PNS, Bank Rakyat, Bank SME, para Usahawan, pengusaha-pemandu bas & teksi, para blogger terutamanya yang menjadi 'follower' blog ini dan semua sekali yang tidak tersebut di sini, saya sekali lagi mengucapkan Maal Hijrah 1430 dan Selamat Tahun Baru 2009. Semoga tahun ini menjadikan kita insan yang lebih jauh baik dari semalam. Kita semua diberikan kesihatan elok agar dapat terus berusaha bagi meneruskan kelangsungan hidup yang lebih berkualiti dan merealisasikan azam mahupun niat tahun-tahun lepas yang masih belum tercapai. Kita doakan juga agar tahun ini memberi lebih keberkatan dan kesejahteraan untuk semua.

Semoga 2009 menjadi titik tolak penghijrahan sikap, tingkahlaku, tuturkata dan apa saja yang dirasakan perlu berubah bagi mencapai kehidupan yang lebih baik. Selamat Tinggal 2008, Selamat Datang 2009. Teruskan berjalan!