Pengumuman

Blog ini sudah berpindah ke alamat baru

www.nohomar.com .

 Blog ini masih akan mendapat update dan pautan posting terkini dari Blog baru.

Terima Kasih kepada semua pengunjung Blog Hati Malaya.

Saturday, May 30, 2009

APA YANG KERAJAAN BANTU...???

Program bersama Nelayan Parlimen Pengkalan Chepa, Kelantan.

Program bersama penanam-penanam padi KADA di Mulong.

Sesi dialog bersama petani dan nelayan di dua program di Mulong dan Pengkalan Chepa,Kelantan.
Lawatan ke dua tapak projek perikanan dan pertanian di Kelantan.
Wahhh...nampaknya lama sudah saya tidak berkesempatan menulis di blog.Bukan sudah lupa...tapi saya agak sibuk mendengar taklimat dan juga membuat lawatan kerja ke agensi-agensi yang berada di bawah kementerian ini tidak ketinggalan juga lawatan ke projek-projek pertanian yang sedang dilaksanakan di merata tempat seluruh Malaysia.

Seperti biasa, saya membuat sesi dialog bersama petani,penternak dan juga nelayan sebelum sesebuah program itu berakhir. Saya agak terkilan apabila mendengar rintihan kumpulan sasaran ini yang rupanya tidak pernah tahu adanya pelbagai insentif dan bantuan kerajaan untuk mereka.

Maka dengan itu, saya telah mengarahkan pihak kementerian agar meningkatkan usaha penyampaian dan penyebaran maklumat kepada kumpulan sasar ini.Kesempatan di sini saya ambil untuk mewar-warkan insentif dan bantuan yang disediakan oleh kerajaan.Jadi, kepada rakan-rakan blogger, besar harapan saya agar dapat membantu mewar-warkan lagi maklumat ini kepada sanak-saudara dan sahabat taulan yang terlibat.

Subsidi dan insentif untuk Nelayan dan keluarga Nelayan

1)Elaun Sara Hidup Bulanan :
Diberikan kepada pemilik individu vessel perikanan dan pekerja warga tempatan yang bekerja di atas vessel berlesen. Elaun RM200 sebulan. Pada tahun 2008 sebanyak RM61.35 juta dibelanjakan untuk membayar elaun sara hidup kepada seramai 34,125 orang penerima.

2)Diesel dan Petrol Subsidi :
Diberikan kepada nelayan yang menggunakan vessel berjentera dan vessel berjentera sangkut bagi membantu meringankan kos operasi menangkap ikan. Nilai subsidi RM1.43 sen. Pada tahun 2008 sebanyak lebih RM880.93 juta dibelanjakan untuk membayar subsidi diesel dan petrol kepada 34,752 orang penerima.

3)Bayaran Insentif Hasil Tangkapan Ikan :
Diberikan kepada pemilik vessel perikanan yang berlesen berdasarkan hasil tangkapan ikan pada kadar 10 sen per kilogram. Pada tahun 2008 sejumlah RM15.59 juta dibayar kepada 19,888 pemilik vessel dengan jumlah hasil tangkapan sebanyak lebih 21.13 juta kilogram.

Insentif Pengeluaran Sektor Perikanan Akuakultur
Jumlah Nilai Insentif yang dikeluarkan pada tahun 2008, RM25.14 juta. Penerima seramai 2,260 orang.

1)Udang Laut
Penternak kecil RM1,560 per tan metrik
Separa Komersil RM780 per tan metrik
Penternak Komersil RM520 per tan metric

2)Ikan Laut
Penternak Kecil RM1,650 per tan metric
Separa Komersil RM 825 per tan metric
Penternak Komersil RM 550 per tan metric

3)Ikan Air Tawar
Penternak Kecil RM570 per tan metric
Separa Komersil RM285 per tan metric
Penternak Komersil RM190 per tan metrik

Tuesday, May 12, 2009

AGENDA MEMBELA PETANI,PENTERNAK DAN NELAYAN


Antara intipati ucapan Perhimpunan Bulanan KPIAT saya yang pertama:

Kepercayaan yang diberikan oleh Perdana Menteri kepada saya untuk menerajui Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani(KPIAT) adalah tanggungjawab dan amanah rakyat dan Negara yang wajib saya jayakan dengan baik dan sempurna.Bahu saya memikul tugas yang berat bagi memastikan dasar-dasar yang digubal bagi membangunkan sektor pertanian sebagai enjin ketiga pertumbuhan ekonomi.Dasar Pertanian Negara umpamanya menggariskan tiga perkara penting iaitu:

• MEMAKSIMUMKAN PENDAPATAN SEKTOR PERTANIAN MELALUI PENGGEMBLENGAN SUMBER-SUMBER NEGARA SECARA CEKAP DAN BERKESAN SUPAYA SUMBANGAN SEKTOR PERTANIAN KEPADA PERTUMBUHAN EKONOMI NEGARA DAPAT DIPERGIATKAN SEMULA.

• MEMAKSIMUMKAN PENDAPATAN PENGUSAHA DAN PEKEBUN KECIL MELALUI PENINGKATAN DAYA PENGELUARAN SUPAYA KADAR KEMISKINAN DAPAT DIKURANGKAN DAN KUALITI HIDUP KELUARGA DIPERBAIKI.

• MEMAJU DAN MENINGKATKAN HASIL SERTA MUTU KOMODITI YANG MEMPUNYAI POTENSI BESAR UNTUK EKSPORT ATAU BAHAN GANTIAN IMPORT DAN KOMODITI TERPILIH UNTUK BAHAN MAKANAN DAN PERINDUSTRIAN.

KPIAT yang berkeluarga besar ini,mempunyai 3 jabatan dan 10 agensi.Dalam menjayakan agenda besar kementerian,kita hendaklah bersama dalam segala tindakan.

Klien kita adalah rakyat,secara khususnya golongan sasar kita adalah petani, penternak dan nelayan.Kalau fokus terhadap memaksimumkan pendapatan sektor pertanian,sudah tentunya golongan sasar ini tidak boleh kita pinggirkan.Malang sekali hakikatnya golongan ini iaitu para petani,penternak,peladang dan nelayan masih jauh ketinggalan dari segi pendapatan.Pelbagai masalah yang tampak remeh tapi merupakan perkara-perkara asas terpaksa dihadapi sehingga menghalang mereka daripada berjaya seterusnya meningkatkan taraf hidup mereka.Ini adalah realiti kesukaran hidup para petani kita yang sepatutnya tidak lagi dialami pada abad ke-21 ini.

Kenapa dan mengapa perkara ini berlaku……..?

Thursday, May 7, 2009

AYAM..AYAM..AYAM..!!!

Hari ini saya telah berjumpa dengan Persatuan Penternak Ayam yang mewakili para penternak ayam untuk membincangkan isu berhubung dengan kenaikan harga ayam di pasaran tempatan. Isu ini telah mendapat perhatian media sepanjang minggu lepas dan saya tahu, isu ini juga menarik perhatian pelbagai pihak, baik penternak, pemborong, peruncit mahupun pengguna termasuklah Kerajaan Barisan Nasional yang tidak memandang remeh tentang isu ini.

Jadi, selaku menteri yang bertanggungjawab, saya telah mengambil langkah untuk bersemuka dan mengenalpasti masalah yang sebenar. Banyak perkara yang dibangkitkan dalam perbincangan selama dua jam itu. Antara hasil perbincangan, kementerian telah bersetuju untuk membenarkan pengimportan ayam dengan syarat, bekalan ayam tersebut hendaklah dari negara-negara yang bebas penyakit dan paling penting ia adalah halal.

Selain itu kita juga menerima cadangan untuk mewujudkan stok penimbal ayam bagi mengatasi masalah kekurangan bekalan. Stok penimbal ini berfungsi sebagai salah satu mekanisma yang dilihat dapat membantu mengawal harga ayam. Yang mana, apabila pengeluaran ayam tempatan berkurangan, kerajaan akan mengeluarkan stok ini ke dalam pasaran bagi memenuhi permintaan. Saya telahpun meminta Jabatan Veterina menyediakan kertas kabinet mengenai perkara ini untuk dibentangkan pada sidang kabinet akan datang.Bagaimanapun ingin saya maklumkan bahawa pengeluaran ayam tempatan adalah mencukupi.