Pengumuman

Blog ini sudah berpindah ke alamat baru

www.nohomar.com .

 Blog ini masih akan mendapat update dan pautan posting terkini dari Blog baru.

Terima Kasih kepada semua pengunjung Blog Hati Malaya.

Thursday, May 29, 2008

Respon Kepada Komen Anda...

minah warong said...
Dato, betul ke rapid KL rugi juta-juta? Buat perabis duit rakyat jer.Eloklah kalau diswastakan saja Perkhidmatan Rapid ni supaya depa bersaing dengan bas-bas lain. Kalau dok dalam kerajaan, mesti rugi punyalah...sebab depa selesa. Tiap-tiap bulan dapat gaji. Tak perlu peduli untung rugi...Fikir-fikirkan lah sebelum rakyat menyalahkan dato sebagi menteri yang bertanggungjawab..
May 23, 2008 4:43 AM

Jawapan saya :

Terima kasih kerana sudi memasuki blog Hati Malaya dan memberi komen terhadap pertemuan saya dengan pihak pengurusan bas Rapid. Sebenarnya banyak perkara telah diperbincangkan dalam pertemuan lebih tiga jam tu. Kalau ditanya kpd saya apakah saya sendiri berpuashati dengan tahap perkhidmatan Rapid setelah lebih 3 tahun beroperasi, jawapannya sudah tentu tidak.

Walaupun saya tak pernah menggunakan perkhidmatan Rapid namun saya banyak mendengar dan menerima aduan daripada pengguna Rapid selain membaca laporan-laporan yang disiarkan dalam media massa.Setelah mendengar taklimat daripada pengurusan Rapid dan berbincang, saya dapati ada beberapa isu yang tak kena dan perlu diberi perhatian ke arah memperbaiki perkhidmatan mereka.

Antaranya, yang jelas ialah struktur tambang dan cara kutipan tambang nya boleh mengundang kepada penyalahgunaan daripada pihak pengguna mahupun pihak pemandu bas Rapid sendiri.
Saya ada mendapat aduan bahawa pengguna boleh menyalahgunakan tiket bas Rapid walaupun murah tetapi tiket berkenaan yang boleh digunakan dalam tempoh 24 jam dan berkali-kali boleh diberikan kpd pengguna lain. Ini kerana tidak ada sistem yang digunakan yang boleh mengenalpasti pengguna yang sah terhadap sesuatu tiket yang dikeluarkan. Ini sudah tentu akan membawa kerugian kepada pihak pengurusan.

Selain itu, saya turut menerima aduan bahawa jadual perkhidmatan Rapid adalah tak menentu. Mereka memberi alasan kesesakan lalu lintas di Lembah Klang menyebabkan jadual perkhidmatan mereka tergendala.

Rapid juga sepatutnya memberi khidmat kepada laluan sosial seperti di taman-taman perumahan yang jauh daripada laluan utama. Namun alasan yang diberikan keadaan jalan dan fizikal bas Rapid tidak membolehkan bas Rapid memasuki kawasan berkenaan. Bagi saya alasan ini tak munasabah. Bak kata pepatah hendak seribu daya tak hendak seribu dalih. Rapid sepatutnya menggunakan bas mengikut kesesuaian, kalau tak boleh bas besar pun..guna bas kecil atau mini untuk memasuki taman perumahan yang mungkin jalannya agak sempit sedikit.

Sebenarnya sebagai syarikat pengangkutan awam yang mendapat sokongan kewangan sepenuhnya daripada pihak kerajaan, Rapid sepatutnya menjadi contoh kepada pesaing-pesaingnya dalam memberi perkhidmatan yang bermutu, cekap dan cemerlang. Dengan khidmat yang cekap, selesa dan mengikut jadual. Sudah tentu orang ramai khususnya warga lembah klang akan menggunakan khidmat pengangkutan bas awam dan sekaligus mengurangkan kesesakkan lalulintas dengan itu, objektif penubuhan Rapid adalah untuk meningkatkan imej pengangkutan awam Negara akan segera tercapai.

Sehingga ke saat ini...saya masih berpikir-pikir untuk menimbangkan apakah perlu Rapid ini diswastakan sebagaimana yang dicadangkan oleh saudari minah warong kerana saya juga sependapat dengan beliau berkenaan dengan isu ini.

Wednesday, May 28, 2008

Sekalung Tahniah...

Selepas menyempurnakan majlis ini, saya
didatangi oleh beberapa orang warga kerja MARA yang melahirkan kesedaran yang tinggi terhadap tanggungjawab mereka.Mungkin ucapan saya pada pagi itu kedengaran seperti ceramah motivasi..Bukan niat untuk mengajar tapi adalah menjadi tanggungjawab saya dan seluruh warga kerja MARA untuk bersikap ikhlas, jujur dan amanah dalam memikul tanggungjawab bagi meningkatkan produktivi dan memberi perkhidmatan yang berkualiti seterusnya melaksanakan harapan pelanggan yang kian bijak menuntut kesempurnaan. Suka saya ingatkan sekali lagi di sini, bahawa, pengurusan yang mantap tidak akan sempurna tanpa perasaan ingin menolong orang lain yang mesti ada dalam diri semua warga kerja. Semoga segala kejayaan dan kecemerlangan yang dicapai akan menyemarakkan lagi semangat dan usaha kita bagi memastikan MARA tetap relevan untuk meningkatkan martabat dan maruah kaum Bumiputera demi kegemilangan Bangsa,Agama dan Negara. Selamat Maju Jaya buat semua warga kerja MARA...

Sunday, May 25, 2008

PEMBANGKANG LUPA JANJI...!!!

Belum terlambat untuk saya berkongsi cerita mengenai gelagat Ahli Parlimen pembangkang di Dewan Rakyat minggu lepas. Mereka masih mempertikaikan tindakan Kerajaan Pusat menukar agensi pelaksana projek pembangunan di lima negeri yang dikuasai Pakatan Rakyat.

Pada saya, kerajaan pembangkang seolah-olah mahu lepas tangan dan hanya mengharapkan Kerajaan Pusat untuk terus membantu membangunkan negeri tanpa menyedari janji manis yang mereka tabur kepada rakyat pada Pilihan Raya Umum, 8 Mac lalu.

Sewaktu saya menggulung titah ucapan Yang di-Pertuan Agong, wakil PKR-Batu, PKR-Padang Serai dan DAP-Batu Gajah telah bangun untuk mempertikaikan Kerajaan Pusat seolah-olah tidak menunaikan janji kepada rakyat. Saya tengok, ahli pembangkang asyik bangkitkan perasaan tidak puas hati apabila agensi sedia ada yang membangun program di negeri mereka selama ini bertukar pentadbiran, seolah-olah agensi baru itu tidak salurkan peruntukan.

DAP – Batu Gajah telah bangun dan bercakap mengenai keputusan drastik kementerian saya menukar agensi pelaksana Perbadanan Kemajuan Negeri Perak kepada Majlis Amanah Rakyat (Mara) untuk menyalurkan peruntukan dan pembangunan berkaitan keusahawanan di Perak disifatkan sebagai tidak membela nasib rakyat dan mahu kementerian lebih bersikap terbuka dan berbincang dengan kerajaan negeri Pakatan Rakyat apabila mahu membuat perubahan di negeri terbabit.

Saya jawab, Kementerian sudah putuskan apa jua peruntukan dan pembangunan yang dirancang dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) sebelum ini tidak pernah dibatal, cuma agensi pelaksana yang berbeza. Penukaran agensi pelaksana itu kerana pentadbiran negeri berkenaan sudah berbeza berbanding sebelum ini yang ditadbir Barisan Nasional (BN). Dulu kita boleh duduk semeja, kini selepas pembangkang menang pilihan raya di negeri berkenaan, tanggungjawab mereka untuk laksana janji manifesto Barisan Alternatif yang ditukar kepada Pakatan Rakyat ( itupun dah tipu rakyat, mula-mula Barisan Alternatif lepas tu tukar Pakatan Rakyat ) antaranya, menyediakan premis perniagaan yang mencukupi, beri bimbingan kepada belia, galakan belia dan wanita muda berniaga dan tidak perlu bayar bil air dan elektrik untuk dua tahun pertama.

Jadi sekarang sudah tiba masanya untuk pembangkang menunaikan semua janji itu, kita tidak mahu subahat dengan pembangkang (kalau tidak tunai janji).PKR-Batu dan PKR-Bagan Serai dan beberapa wakil pembangkang lain nampaknya tidak puas hati dengan jawapan saya lalu bangun membantah dan menuduh Umno sudah tenat.

Saya terangkan kepada mereka dan ingin juga saya terangkan kepada pembaca di luar sana, kenapa kita tidak boleh duduk semeja, ini adalah kerana, manifesto berbeza dan BN tidak mahu bersekongkol bersama pembangkang dengan janji yang tidak boleh ditunaikan sebab ini membabitkan duit rakyat. Walaubagaimanapun, duit ini akan disalurkan kepada rakyat mengikut agensi yang kita kendalikan dan kita telah putuskan, Mara selaku agensi pelaksana yang akan tunaikan janji kepada rakyat.

Begitulah kalau pembangkang mula melatah dan buat-buat lupa janji mereka...Tepuk dada..tanya selera...

PELUANG PERNIAGAAN MENERUSI KERJASAMA STRATEGIK

Semalam selepas menyempurnakan Mesyuarat Agong Alumni Kelab UMNO, saya telah dijemput untuk merasmikan Program Peluang Perniagaan & Usahasama Pelaburan yang juga bertempat di PWTC. Program yang dianjurkan oleh kementerian saya dengan kerjasama Jawatankuasa Pelaburan Asing (FIC) Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri ini merupakan inisiatif kedua belah pihak dalam mempergiatkan lagi usahasama strategik antara syarikat Bumiputera dengan Bukan Bumiputera.

Peluang terbuka luas kepada usahawan dan komuniti perniagaan Bumiputera untuk melabur serta mengadakan kerjasama dengan syarikat asing dan tempatan dalam pelbagai bidang. Saya sempat melawat ke tapak pameran di mana saya lihat bermacam-macam produk yang dihasilkan oleh R&D institusi penyelidikan tempatan. Apa yang saya nampak, inilah peluang para usahawan ataupun bakal usahawan di luar sana mendapatkan maklumat mengenai pelbagai program utama di bawah kementerian saya seperti Program Vendor, Francise, Groom Big, Conversion, Contract Farming, Contract Mnufacturing, Rantaian Nilai dan Peruncitan.

Masih terdapat lebih kurang 260 syarikat bukan Bumiputera dan asing yang beroperasi di negara ini yang belum menjual ekuiti bumiputera mereka. Dari rekod kementerian, daripada jumlah itu sebahagian besarnya terdiri daripada syarikat asing dan antara sebab mengapa perkara itu berlaku adalah kerana ramai usahawan bumiputera tidak mengetahui terdapat kekosongan ekuiti di syarikat terbabit dan mungkin juga kerana faktor ketidakmampuan kewangan syarikat bumiputera.

Program ini adalah sebagai langkah pertama dan mungkin dijadikan sebagai acara tahunan bagi membolehkan pertemuan antara syarikat bumiputera, bukan bumiputera dan syarikat asing untuk menjalankan urusan pembelian pegangan ekuiti dan menggalakkan kerjasama perniagaan antara mereka. Walaupun pegangan ekuiti 30 peratus kepada bumiputera telah termaktub dalam peraturan seperti Jawatankuasa Pelaburan Asing (FIC), kementerian buat masa sekarang sedang mendekati syarikat terbabit untuk memahami masalah itu dengan lebih mendalam sebelum membuat apa-apa tindakan.

Seperti biasa, selepas tamat acara perasmian, saya akan memberi peluang kepada audiens untuk sesi soal jawab. Antara soalan :

1)Apakah cara kementerian saya menyampaikan maklumat kepada bakal usahawan bumiputera mengenai industri oil & gas.
Jawapan : Di peringkat kementerian, saya sudah meminta mereka mengadakan seminar keusahawanan berkenaan peluang industri oil & gas dalam masa yang terdekat.

2)Apakah langkah kementerian bagi menyelesaikan masalah usahawan yang memerlukan premis perniagaan untuk beroperasi sedangkan apabila mereka memohon untuk menyewa premis-premis kosong kepunyaan agensi di bawah kementerian ini, permohonan mereka telah ditolak.

Jawapan : Memang saya akui, terdapat premis perniagaan kepunyaan agensi kementerian ini yang menjadi gajah putih. Lantaran itu, saya telah menubuhkan pasukan ‘flying squad’ yang akan turun padang dan merespon kepada aduan orang ramai bagi masalah premis perniagaan sebegini. Saya juga telah mengarahkan, bermula 01 Jun ini, setiap agensi di bawah kementerian saya perlu mengeluarkan surat kepada pemohon yang menyatakan sebab kenapa sesuatu permohonan itu ditolak. Jika pemohon tidak berpuas hati dengan sebab-sebab itu, mereka boleh merayu kepada Jawatankuasa Rayuan di Kementerian untuk memperolehi peluang kedua.

Friday, May 23, 2008

Mesyuarat Agong Alumni Kelab-Kelab UMNO Luar Negara

Tarikh : 24 hb Mei 2008
Jam : 9.00 pagi
Tempat : Dewan Tun Dr. Ismail, Aras 2, Pusat Dagangan Kuala Lumpur (PWTC)


Selaku pengerusi Alumni Kelab UMNO, saya akan merasmikan Mesyuarat Agong pertubuhan ini pada esok pagi. Agenda utama mesyuarat ini adalah untuk pemilihan Ahli Jawatankuasa Pertubuhan bagi sesi 2008 - 2010. Untuk makluman semua, Alumni Kelab UMNO telah ditubuhkan sejak tahun 2000 sebagai sebuah badan bukan kerajaan yang berdaftar di Kuala Lumpur.

Antara misi penubuhan Alumni Kelab UMNO ini adalah untuk mengumpul bekas-bekas pelajar Malaysia yang belajar di luar Negara dan terdiri daripada cendikiawan serta profesional Melayu yang telah bekerja di sektor kerajaan mahupun swasta. Disamping itu ia juga berperanan sebagai ‘think thank’ yang menyampaikan idea dan pandangan kepada kerajaan dalam menangani isu-isu semasa. Pelbagai program kemasyarakatan telah dianjurkan oleh Alumni Kelab UMNO seperti Seminar Agenda Melayu, Persidangan Meja Bulat Menagani Isu Semasa, Forum Bicara Ad-deen, Forum Perdana dan banyak lagi.

Saya mengambil peluang ini untuk mengalu-alukan bekas-bekas pelajar yang pernah belajar di luar Negara terutamanya bekas-bekas ahli kelab UMNO luar Negara untuk menghadiri mesyuarat ini seterusnya mendaftar sebagai ahli Alumni Kelab UMNO.

Untuk makluman lanjut para pembaca bolehla melayari
http://www.alumniaumno.org.my

Jumpa di sana !

Dialog Bersama Airport Limo dan Rapid

Sesi dialog bersama Syarikat dan Badan Kebajikan Sosial Airport Limo (M) Sdn. Bhd. Telah memakan masa lebih kurang empat jam. Pelbagai isu telah dibangkitkan mengenai prestasi dan keberkesanan perkhidmatan Airport Limo, isu ulat, kebajikan pekerja dan usaha-usaha yang perlu dilakukan ke arah penambahbaikan. Salah satu keputusan yang dilihat boleh membantu ke arah perkhidmatan mesra pelanggan ialah dengan mengaktifkan semula peranan pemandu-pemandu limo sebagai ‘ Customer Service’. Mereka akan bertindak memberi maklumat mengenai perkhidmatan yang disediakan oleh Airport Limo dan juga membantu pelanggan mendapatkan maklumat-maklumat lain yang berkaitan.

Pada sebelah malam, saya berdialog pula dengan syarikat yang mengusahakan Rapid KL dan Rapid Penang. Antara isu yang dibangkitkan ialah keberkesanan perkhidmatan Rapid KL dan Rapid Penang dalam memberi perkhidmatan yang cekap dan berkualiti kepada pengguna. Dengan itu kita melihat apakah Rapid KL dan Rapid Penang yang dimiliki 100% oleh Syarikat Prasarana Negara Bhd. Perlu bersaing dengan perkhidmatan bas swasta yang lain.

Saya telah meminta pihak LPKP supaya membuat satu laporan untuk diangkat kepada kabinet dan dibentangkan kepada Jawatankuasa Kabinet Pengangkutan Awam. Saya juga akan mengadakan satu pertemuan dengan operator-operator bas yang beroperasi di Lembah Klang pada 27hb ini dan melihat pula pandangan mereka mengenai prestasi pengangkutan awam di sekitar Lembah Klang.

Sewaktu menggulung hujah di parlimen tempohari, saya menyangka isu teksi ini boleh selesai dalam masa lima minit sahaja tapi saya silap…lebih kurang setengah jam para Y.B. tidak kira dari pihak Barisan Nasional mahupun pembangkang telah bangun mengemukakan hujah berkenaan isu ini. Saya kira, ramai peguambela kepada pemendu-pemandu teksi di dalam Dewan Rakyat. Baru-baru ini, di mana-mana sahaja apabila saya mengumumkan usaha kerajaan memberikan permit teksi kepada individu, satu tepukan gemuruh diberikan oleh audiens. Bukan ingin popular, tapi itulah luahan hati yang sebenar para pemandu taksi…

Pertemuan demi pertemuan telah diatur dengan semua pihak yang terlibat. Sebagai tindakan hasil dari semua pertemuan yang saya hadiri, kabinet telah meminta saya agar membuat satu kajian terperinci terhadap isu pemberian permit teksi kepada individu. Satu Nota Kabinet telah dihantar bagi memaklumkan langkah-langkah yang telah kita ambil bagi isu ini. Sebuah memorandum juga turut dihantar ke kabinet.

Membuat sebuah keputusan besar yang melibatkan dasar, bukanlah satu kerja mudah. Saya merasakan sangat perlu untuk saya turun padang, berbincang, melihat dan mendengar sendiri masalah dan sungutan orang ramai serta mendapat ‘feedback’ dari semua pihak yang berkenaan, barulah kita dapat membuat satu keputusan yang terbaik untuk semua.

Thursday, May 22, 2008

Majlis Dialog

Hari ini, 22 Mei...dalam usaha saya untuk mengadakan pertemuan dan sesi dialog dengan semua NGO, GLC dan semua agensi yang terlibat dengan kementerian saya, pada petang ini saya meneruskan usaha ini dengan mengadakan pertemuan bersama Syarikat Dan Badan Kebajikan Sosial Airport Limo (M) Sdn. Bhd. Saya akan berkongsi dengan pembaca hasil dari sesi dialog ini sedikit masa lagi....

Sunday, May 18, 2008

Ahad, 18/05/08,1:30 pagi.....

Pada waktu ini...saya dalam perjalanan menuju ke Lumut berkereta bersama beberapa orang rakan seperjuangan dan pegawai-pegawai saya. Ini kerana kira-kira 11.00 pagi ini nanti, saya telah dijemput untuk menghadiri Majlis Perasmian Kompleks Ternakan Ikan yang dibangun dan diusahakan oleh Syarikat Global Hi-Q Biotech Sdn. Bhd, usahasama antara pelabur tempatan dan juga pelabur dari Taiwan.

Sepanjang hari semalam setelah melalui jadual kerja yang agak padat bermula dengan pertemuan dan dialog bersama usahawan-usahawan Selangor pada jam 10.30 pagi. Majlis tersebut telah diadakan di Hotel Concorde, Shah Alam dan dihadiri seramai kira-kira 800 orang usahawan berbilang kaum.

Banyak isu telah dibangkitkan oleh audiens terutamanya dari kaum India berkenaan isu-isu yang melibatkan DEB dan juga pelaksanaan dasar-dasar kerajaan oleh agensi-agensi di bawah kementerian saya. Sewaktu sesi dialog, ada audiens yang memberi pandangan bahawa DEB dan Kementerian saya ini diwujudkan hanyalah untuk membantu Melayu dan bumiputera sahaja. Di sini ingin saya jelaskan, bahawa sebagaimana penulisan terdahulu saya mengenai DEB, ianya adalah untuk semua kaum. Antara objektif DEB adalah untuk membasmi kemiskinan tanpa mengira kaum. Sehubungan dengan itu, sebuah jawatankuasa diwujudkan di bawah kementerian saya dikenali sebagai Majlis Galakan Usahasama Tulen (MGUT). Ia berperanan untuk menggalak dan meningkatkan usahasama di antara Bumiputera dan bukan Bumiputera dalam bidang perdagangan dan perindustrian.

Objektif utama MGUT adalah untuk mengalakkan Usahasama Tulen di antara usahawan Bumiputera dan Bukan Bumiputera. Kedua-dua belah pihak dapat bersama-sama memperluas,meneroka dan berkongsi pengalaman serta kepakaran dalam bidang perniagaan dan perindustrian berasaskan kepada kekuatan dan kelebihan masing-masing dan bukannya usahasama berbentuk ‘Alibaba’. Setakat ini dalam tempoh 11 tahun, 56 syarikat usahasama telah dapat diwujudkan. Program Usahasama Tulen yang sudah masuk Fasa Kedua ini telah mendapat dana sebanyak 500 juta yang dipersetujui dengan kerjasama Bank Negara, Bank Perdagangan, Bank Pembangunan, Perbankan Islam, syarikat-syarikat modal teroka dan Agensi pembiaya Kerajaan seperti Permodalan Nasional Berhad, MARA dan SMIDEC.

Statistik terkini setakat April 2008 menunjukkan bahawa SME Bank telah meluluskan pinjaman untuk Bukan Bumiputera sebanyak 82.8 juta ringgit. Dari jumlah itu, sebanyak 14.8 juta diperuntukkan kepada kaum India dan 68.0 juta kepada kaum Cina. Dari segi latihan pula, sepanjang tahun 2006 dan 2007, INSKEN telah membelanjakan sebanyak RM450,920.00 bagi membiayai penganjuran latihan keusahawanan kepada masyarakat India di mana keseluruhan peserta yang dilatih seramai 4627 orang.Pada tahun ini pula, seramai 300 orang bukan bumiputera dilatih di bawah Skim Usahawan Siswazah dan Tabung Usahawan Siswazah. Dari sudut pembangunan modal insan, seramai 3,223 pelajar bukan bumiputera telah diterima belajar di MRSM dan Giat Mara. Premis Perniagaan pula telah diberikan kepada 472 orang bukan bumiputera.Seramai 14 orang Bukan Bumiputera telah diberi bantuan dari segi Program Promosi dan Pemasaran. Sebanyak 123,336 lesen bas, lori dan teksi telah diberikan kepada pengusaha Bukan Bumiputera dan sebanyak 5167 lesen PKK pula telah dikeluarkan kepada kontraktor-kontraktor Bukan Bumiputera. Ini jelas bahawa tidak timbul masalah kerajaan membantu sesuatu kaum sahaja dan menunjukkan kerajaan Barisan Nasional serius dengan tanggungjawab membantu semua kaum yang di Malaysia.

Pada hari ini, kita telah menyaksikan satu lagi perjanjian usahasama tulen ditandatangani di antara Dewan Muda DPMMS dengan Abex Manufacturing Sdn. Bhd dan Massa Auto Services Sdn. Bhd. Saya berharap agar usahawan Bumiputera dan Bukan Bumiputera di luar sana mengambil peluang ini dengan menyertai Program Usahasama Tulen ini. Inilah semangat rakyat Malaysia yang tersurat dan tersirat di dalam Rukun Negara.
Pada sebelah petangnya pula, lebih kurang jam empat, jadual kerja saya diteruskan dengan menghadiri jemputan ke Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Koperasi Usahawan Belia Kuala Selangor yang diadakan di Kuala Selangor. Saya berbangga dengan kesedaran dan semangat yang ditunjukkan oleh golongan belia Kuala Selangor sehingga tertubuhnya koperasi ini. Semoga usaha ini menjadikan sektor koperasi terus relevan dan menyumbang kepada peningkatan ekonomi rakyat dengan menambah peluang pekerjaan serta dapat merapatkan jurang ekonomi dan sosial di Negara ini.

Seusai majlis itu, saya mempengerusikan pula mesyuarat jawatankuasa UMNO di Hotel De Palma, Kuala Selangor. Pelbagai perkara dibincangkan sepanjang pertemuan itu. Kemudian lebih kurang jam 9.00 malam, saya bertolak ke perkarangan Dewan Dato’ Hormat Tanjong Karang bagi menyempurnakan Majlis Perasmian Program Gerak Usahawan Peringkat Majlis Pembangunan Usahawan Daerah (MPUD) Parlimen Tanjong Karang. Program ini bermula pada jam 9.00 malam. Sambutan kehadiran orang ramai yang mencecah 7000 orang adalah di luar jangkaan saya. Ini menunjukkan bahawa kesedaran orang ramai terhadap bidang keusahawanan sudah tinggi. Buat pengetahuan semua, dengan penyertaan kesemua agensi di bawah MECD, program ini adalah merupakan ‘one stop centre’ kepada usahawan dan bakal usahawan bagi mereka mendapatkan maklumat mengenai kemudahan, bantuan dan sokongan serta peluang-peluang baru dalam perniagaan.

Program Gerak Usahawan ini juga boleh digambarkan sebagai testimoni kepada kesungguhan kerajaan hendak membangunkan usahawan.Ianya juga merupakan satu proses pembudayaan ilmu keusahawanan di kalangan Bumiputera bagi membentuk suatu budaya perniagaan yang boleh bertukar menjadi potensi kepada sumber pendapatan yang berterusan.

Suka saya ingatkan di sini, sesungguhnya tidak ada jalan pintas kepada sesuatu kejayaan dalam dunia keusahawanan. Kemahiran, kerajinan, ketekunan serta kesungguhan dan komitmen yang tinggi amat diperlukan bagi mencapai kemajuan dan memperkasakan bidang keusahawanan ini. Saya berharap agar program ini memberi banyak manfaat kepada anda semua di luar sana.

Jam menunjukkan 2.45 pagi...Saya masih di sini dan meneruskan perjalanan untuk sampai ke destinasi yang dituju....

Friday, May 16, 2008

Temui Saya...

PROGRAM GERAK USAHAWAN 2008
(Peringkat MPUD Parlimen Tanjung Karang)
Pada : 17 - 18 Mei 2008 (9.00pg - 10.00mlm)
Bertempat di : Dewan Dato' Hormat, Tanjong Karang

Saya akan merasmikan program ini pada 17 Mei 2008, Jam 8.00 Malam. Kepada anda semua di luar saya, saya amat mengalu-alukan kehadiran anda. Bawalah bersama keluarga dan war-war kanlah program ini kepada sahabat handai semua kerana terdapat pelbagai aktiviti sepanjang program berlangsung. Di antara aktiviti-aktiviti menarik ialah Pameran peluang-peluang perniagaan dan jaringan usahawan serta seminar dan bengkel kepada para usahawan dan bakal usahawan. Semoga hujung minggu ini dapat kita manfaatkan sebaik mungkin bersama keluarga tercinta...Kita jumpa di sana nanti..Selamat Berhujung minggu.

Wednesday, May 14, 2008

Respon kepada Komen anda...

Saya tertarik kepada beberapa pandangan yang diberikan oleh pembaca blog ini di ruangan komen dan saya rasa respon kepada pandangan-pandangan itu perlu dikongsi dengan semua pembaca...

Yang Pertama...

Ringkasan pandangan Zulfadzli :
Saya merasakan Jawatankuasa Rayuan (JR) tidak perlu kerana agensi-agensi di bawah MECD telah mempunyai Jawatankuasa Kelulusan Pinjaman (JKP) yang tersendiri. Penubuhan JR akan hanya menyebabkan keputusan JKP agensi-agensi yang berkenaan dipandang remeh oleh usahawan.
(Untuk komen lengkap, sila rujuk kolum DEB Untuk Siapa....?)

Respon kepada pandangan Zulfadzli :
Terima kasih atas pandangan Zulfadzli. Sebagai seorang pegawai yang pernah bekerja di bawah sebuah agensi kewangan MECD sudah tentu saudara Zulfadzli banyak pengalaman dalam hal ini. Apa yang dimaksudkan dengan Jawatankuasa Rayuan ini adalah memberi peluang kedua kepada para pemohon pinjaman. Ini adalah kerana, sebelum ini banyak aduan yang saya terima dari orang ramai mengatakan penolakan permohonan pinjaman mereka kurang berasas. Mungkin kerana mereka ditemuduga oleh pegawai yang berkenaan dan pegawai itulah yang akan membentangkan hasil temuduga tersebut kepada board. Disinilah timbulnya masalah yang mana kemungkinan penerangan yang dipersembahkan oleh pegawai tadi kepada board kurang jelas atau tidak mencapai maksud sebagaimana kehendak si pemohon pinjaman. Cuba kita bayangkan keadaan si pemohon pinjaman yang mana perlu menunggu dalam tempoh mungkin 2 bulan, 3 bulan atau 5 bulan untuk di temuduga oleh panel penemuduga kemudian perlu menunggu lagi untuk keputusan temuduga itu dipersembahkan kepada board yang mungkin akan mengambil masa 2 atau 3 bulan lagi...sekiranya pemohonan itu berjaya tidak mengapa, tetapi jika berlaku sebaliknya....permohonan itu ditolak...alangkah kecewanya si pemohon berkenaan. Bertitik tolak dari keadaan ini, saya telah mengarahkan semua agensi yang terlibat supaya mengemukakan alasan kenapa sesuatu permohonan itu ditolak. Jadi di sinilah peranan Jawatankuasa Rayuan mempertimbangkan semula kes-kes sebegini. Ia adalah satu pendekatan ke arah proses penambahbaikan sistem penyampaian kementerian berasas pandangan dari akar umbi..
Ia juga merupakan salah satu bentuk dorongan dari pihak kementerian kepada bakal usahawan diluar sana yang benar-benar berminat dan tidak kenal erti putus asa untuk menjadikan usahawan sebagai kerjaya mereka...

Sesi Dialog Bersama NGO

Kementerian Pembangunan Usahawan Dan Koperasi adalah sebuah kementerian yang besar diamanah dan dipertanggungjawabkan untuk membangunkan usahawan bumiputera. Inilah cabaran kepada saya.

Sebelum menerajui kementerian ini, saya mendengar banyak keluh kesah dan rungutan daripada para usahawan kita yang mengatakan kerajaan tidak banyak membantu mereka, dasarnya baik tetapi di manakah silapnya…? Maka dengan itu, saya mengambil pendekatan untuk turun padang dan berdialog sendiri dengan pihak-pihak yang berkenaan. Ingin saya kongsi bersama pembaca di sini , pengalaman dan pendekatan yang telah diambil hasil dari beberapa sesi pertemuan dan dialog bersama dengan NGO yang berkaitan dengan kementerian ini. Lebih kurang dua bulan menerajui kementerian ini, telah membawa saya bertemu dan berdialog dengan kira-kira sepuluh badan bukan kerajaan (NGO), yang mewakili usahawan-usahawan dan peniaga bumiputera. Antaranya, Persatuan Peniaga dan Penjaja Kecil Melayu Selangor, Persatuan Teksi Selangor, Dewan Perniagaan Melayu Perak, Dewan Perniagaan Melayu Kelantan, Pengusaha-pengusaha Teksi dan Limosin LCCT dan KLIA, Persatuan Kontraktor Melayu, Persatuan Vendor Bumiputera, Persatuan Kereta Sewa Lapangan Terbang Kota Bharu, Gabungan Persatuan Peniaga dan Penjaja Kecil Malaysia dan juga perjumpaan dengan CEO-CEO GLC.

Antara isu-isu yang dibangkitkan dalam perjumpaan-perjumpaan ini termasuklah kerenah birokrasi oleh Agensi-agensi khususnya dalam urusan memproses dan mengeluarkan pinjaman. Isu antara pihak vendor bumiputera dan GLC yang melibatkan pemberian kontrak yang didakwa tidak adil. Isu permit teksi juga tidak terkecuali. Saya mengakui berlakunya keadaan yang sedemikian di luar sana dan akan berusaha untuk memperbaiki lagi sistem penyampaian dan perlaksanaan setiap program bagi membangunkan usahawan ini dilaksanakan dengan baik dan berkesan khususnya di peringkat akar umbi.

Sebagai contoh, saya telah mengarahkan pihak-pihak agensi untuk sama turun ke padang dan bukan mengambil sikap seperti mesin ATM yang hanya menunggu pelanggan dan tidak memahami kehendak serta masalah pelanggan. Kita mesti tahu apa sebenarnya yang dikehendaki oleh pelanggan dan berusaha untuk memenuhi permintaan pelanggan yang datang memohon bantuan. Ingin saya nyatakan di sini juga bahawa baru-baru ini, saya telah mengumumkan Program Peluang Kedua kepada para usahawan kita yang menghadapi masalah pembayaran balik pinjaman yang disebabkan mereka tidak dapat menjalankan perniagaan atas faktor-faktor yang di luar kawalan dan jangkaan. Mengambil contoh seorang usahawan yang saya temui di Perak. Beliau mengalami kerugian akibat wabak selsema burung yang mengancam projek ternakan ayam dan mengakibatkan beliau gagal membayar balik pinjaman. Kita tidak boleh membiarkan beliau terus gagal tanpa memberi peluang kedua untuk bangkit memajukan semula perniagaan ternakan ayam tersebut. Lantaran itulah, kita perlu melihat kes-kes begini dalam mempertimbang kelulusan pinjaman kedua kepada para usahawan kita.

Respon kepada isu permit teksi pula, kementerian saya dalam usaha merangka kertas kabinet bagi mengkaji pemberian lesen teksi terutamanya kepada pemandu-pemandu teksi individu dibuka semula. Ini kerana, kita sedar ada pelbagai masalah timbul apabila lesen teksi diberikan kepada syarikat termasuk isu kos sewa dan sewa beli teksi yang tinggi, pendapatan pemandu yang tidak setimpal, kebajikan pemandu tidak dijaga dan masalah pemandu tidak guna meter dan tidak mahu ambil penumpang.

Sesungguhnya, pembangunan usahawan dan koperasi merupakan satu bidang yang amat luas dan mencabar. Ia perlu dilaksanakan dengan penuh ketelusan dan keikhlasan. Saya yakin dan percaya dengan kerjasama semua pihak, hasrat kementerian dalam memartabatkan ‘Keusahawan Kerjaya Pilihan’ akan dapat dilaksanakan dengan jaya.

Monday, May 12, 2008

'Retreat' Kementerian Pembangunan Usahawan Dan Koperasi

Alhamdulillah, setelah melalui hari-hari yang panjang…pelbagai peristiwa yang dilalui…banyak pengalaman baru yang saya perolehi…akhirnya dapat juga meluangkan masa untuk kembali berinteraksi di dalam blog ini…Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pengunjung-pengunjung yang telah melayari blog ini. Segala komen, pandangan, cadangan dan sokongan yang diberikan amat saya hargai.

Banyak perkara yang ingin saya kongsi bersama pembaca pada kali ini..Mengambil kira komen-komen, cadangan, pandangan dan aduan yang dihantar oleh orang ramai ke blog dan email saya, pada hujung minggu lepas, satu program retreat telah disusun oleh kementerian saya yang melibatkan pihak Pengurusan Tertinggi MECD dan Agensi-agensi di bawahnya. Terima kasih saya ucapkan kepada semua peserta dan urusetia yang terlibat kerana sanggup mengorbankan waktu hujung minggu anda semua bersama keluarga bagi menjayakan program 'retreat' ini.

Program ini diadakan dengan tujuan untuk menilai semula pelaksanaan program-program pembangunan usahawan dan koperasi di bawah MECD dan Agensi serta menyediakan langkah-langkah penambahbaikan dalam mengatasi masalah yang timbul. Antara langkah yang telah diambil adalah, menubuhkan Jawatankuasa Pembangunan Usahawan Daerah (JPUD) sebagai jentera pelaksana dasar di peringkat akar umbi. Jawatankuasa ini akan diketuai oleh pegawai MARA daerah dan akan bertindak sebagai Pegawai Pembangunan Usahawan Daerah, yang bukan sahaja bertanggungjawab ke atas urusan MARA tetapi juga bertugas menjadi penyelaras kepada pegawai agensi MECD yang lain seperti Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), TEKUN, Bank SME dan Bank Rakyat. Jawatankuasa ini dianggotai oleh semua Agensi-agensi di bahawa MECD yang ada di daerah-daerah berkenaan dan berfungsi untuk memantau setiap program pembangunan usahawan di daerah masing-masing.

Selain dari JPUD, terdapat Majlis Pembangunan Usahawan Daerah (MPUD) yang akan diperkukuhkan lagi dengan penyertaan semua Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang berkaitan seperti Persatuan Penjaja, Persatuan Pemandu Teksi dan Persatuan-persatuan Usahawan di peringkat daerah. Selain melaksanakan program-program pembangunan usahawan, MPUD juga berperanan untuk mengenal pasti masalah-masalah usahawan diperingkat daerah untuk di bawa ke mesyuarat bulanan JPUD. Peranan MPUD dimantapkan lagi dengan menjadikannya satu mekanisme terbaik sebagai saluran penyampaian maklumat kementerian ke peringkat akar umbi.

Antara objektif lain program retreat ini adalah untuk menggariskan halatuju dan perancangan strategik Kementerian dalam usaha mewujudkan lebih ramai usahawan dan koperasi yang berkualiti. Bengkel program ini juga telah membincangkan penetapan sasaran 'Key Performance Indicators' Kementerian dan Agensi dengan mengambilkira hasil dan impak jangka pendek dan panjang. Apa yang saya nampak, program 'retreat' ini telah berjaya memantapkan semangat kerja berpasukan dan merapatkan lagi hubungan antara Kementerian dan Agensi bagi mewujudkan 'synergy' ke arah pembentukkan Kementerian Pembangunan Usahawan Dan Koperasi yang berprestasi cemerlang.