Pengumuman

Blog ini sudah berpindah ke alamat baru

www.nohomar.com .

 Blog ini masih akan mendapat update dan pautan posting terkini dari Blog baru.

Terima Kasih kepada semua pengunjung Blog Hati Malaya.

Wednesday, May 14, 2008

Sesi Dialog Bersama NGO

Kementerian Pembangunan Usahawan Dan Koperasi adalah sebuah kementerian yang besar diamanah dan dipertanggungjawabkan untuk membangunkan usahawan bumiputera. Inilah cabaran kepada saya.

Sebelum menerajui kementerian ini, saya mendengar banyak keluh kesah dan rungutan daripada para usahawan kita yang mengatakan kerajaan tidak banyak membantu mereka, dasarnya baik tetapi di manakah silapnya…? Maka dengan itu, saya mengambil pendekatan untuk turun padang dan berdialog sendiri dengan pihak-pihak yang berkenaan. Ingin saya kongsi bersama pembaca di sini , pengalaman dan pendekatan yang telah diambil hasil dari beberapa sesi pertemuan dan dialog bersama dengan NGO yang berkaitan dengan kementerian ini. Lebih kurang dua bulan menerajui kementerian ini, telah membawa saya bertemu dan berdialog dengan kira-kira sepuluh badan bukan kerajaan (NGO), yang mewakili usahawan-usahawan dan peniaga bumiputera. Antaranya, Persatuan Peniaga dan Penjaja Kecil Melayu Selangor, Persatuan Teksi Selangor, Dewan Perniagaan Melayu Perak, Dewan Perniagaan Melayu Kelantan, Pengusaha-pengusaha Teksi dan Limosin LCCT dan KLIA, Persatuan Kontraktor Melayu, Persatuan Vendor Bumiputera, Persatuan Kereta Sewa Lapangan Terbang Kota Bharu, Gabungan Persatuan Peniaga dan Penjaja Kecil Malaysia dan juga perjumpaan dengan CEO-CEO GLC.

Antara isu-isu yang dibangkitkan dalam perjumpaan-perjumpaan ini termasuklah kerenah birokrasi oleh Agensi-agensi khususnya dalam urusan memproses dan mengeluarkan pinjaman. Isu antara pihak vendor bumiputera dan GLC yang melibatkan pemberian kontrak yang didakwa tidak adil. Isu permit teksi juga tidak terkecuali. Saya mengakui berlakunya keadaan yang sedemikian di luar sana dan akan berusaha untuk memperbaiki lagi sistem penyampaian dan perlaksanaan setiap program bagi membangunkan usahawan ini dilaksanakan dengan baik dan berkesan khususnya di peringkat akar umbi.

Sebagai contoh, saya telah mengarahkan pihak-pihak agensi untuk sama turun ke padang dan bukan mengambil sikap seperti mesin ATM yang hanya menunggu pelanggan dan tidak memahami kehendak serta masalah pelanggan. Kita mesti tahu apa sebenarnya yang dikehendaki oleh pelanggan dan berusaha untuk memenuhi permintaan pelanggan yang datang memohon bantuan. Ingin saya nyatakan di sini juga bahawa baru-baru ini, saya telah mengumumkan Program Peluang Kedua kepada para usahawan kita yang menghadapi masalah pembayaran balik pinjaman yang disebabkan mereka tidak dapat menjalankan perniagaan atas faktor-faktor yang di luar kawalan dan jangkaan. Mengambil contoh seorang usahawan yang saya temui di Perak. Beliau mengalami kerugian akibat wabak selsema burung yang mengancam projek ternakan ayam dan mengakibatkan beliau gagal membayar balik pinjaman. Kita tidak boleh membiarkan beliau terus gagal tanpa memberi peluang kedua untuk bangkit memajukan semula perniagaan ternakan ayam tersebut. Lantaran itulah, kita perlu melihat kes-kes begini dalam mempertimbang kelulusan pinjaman kedua kepada para usahawan kita.

Respon kepada isu permit teksi pula, kementerian saya dalam usaha merangka kertas kabinet bagi mengkaji pemberian lesen teksi terutamanya kepada pemandu-pemandu teksi individu dibuka semula. Ini kerana, kita sedar ada pelbagai masalah timbul apabila lesen teksi diberikan kepada syarikat termasuk isu kos sewa dan sewa beli teksi yang tinggi, pendapatan pemandu yang tidak setimpal, kebajikan pemandu tidak dijaga dan masalah pemandu tidak guna meter dan tidak mahu ambil penumpang.

Sesungguhnya, pembangunan usahawan dan koperasi merupakan satu bidang yang amat luas dan mencabar. Ia perlu dilaksanakan dengan penuh ketelusan dan keikhlasan. Saya yakin dan percaya dengan kerjasama semua pihak, hasrat kementerian dalam memartabatkan ‘Keusahawan Kerjaya Pilihan’ akan dapat dilaksanakan dengan jaya.

2 comments:

SLKEB40 said...

assalamualaikum wbt Y.B Dato'

Syukur dan tidak terlambat untuk saya mengucapkan tahniah kerana menerajui Kementerian pembangunan Usahawan Dan Koperasi namun itu yang mampu.

Pembangunan usahawan di negara ini merupakan usaha yang mulia apatah lagi keusahawanan itu sekarang dipandang luas oleh masyarakat.namun memang benar yang dikatakan oleh Dato' tentang keluh kesah usahawan.Dimana silapnya?

Dana dan peruntukkan disedikan melalui pelbagai saluran namun mengapa timbul juga persoalan dan rungutan dari usahawan.cara perlaksanaan dari semua peringkat barangkali.

Mereka-mereka yang sentiasa keluh kesah ini diselubungi,dicantas,dicuri,dipejamkan,disusahkan,ditundukkan barangkali untuk mencapai matlamat mereka.Namun tindakan dan lagkah yang diambil oleh pihak Kementerian di bawah naungan Dato' dipuji dan harapannya berterusan dengan turun sendiri mendengar masalah secara terus samada dengan perwakilan mahupun persatuan-persatuan.

Alangkah murni dan telus jika penulisan ini sampai dan dapat dibaca oleh Dato' menunjukkan betapa 'dekat' dan 'cepat' sesuatu itu sampai.saya lebih bersyukur jika kesemua usahawan yang mengalami keluh kesah dan sesiapa sahaja merasa dan terasa terpanggil untuk menyampaikan sesuatu yang penting dan melihat kemajuan kehadapan dan bukan masih merengek tentang kesilapan silam melakukan yang sama terutama yang bergelar USAHawan bumiputera.

Mungkin saya masih mentah dan baru dalam dunia perniagaan, namun apa yang lebih penting keusahawanan itu sememangnya memberkatkan dan mengimarahkan rezeki kurniaan ALLAH.Kenikmatan keusahawanan lebih mulia jika dapat kita berkongsi rezeki dengan orang-orang sekeliling kita terutama bumiputera muslim kita.

Masa yang beralun memungkin perubahan dan kita perlu bersedia menempuhi dengan bijak tanpa tergadai maruah diri, bangsa, agama,negara.

Insyallah keusahawan menjamin kenikmatan dan keberkatan jika berlandas pada lintasan dan perjalan yang jujur,ikhlas dan amanah.

Wassalam,
m.s.iz

Noh bin Haji Omar said...

Saya mengucap berbanyak terima kasih kepada slkeb40 atas sokongan dan pandangan yang diberikan.Saya amat mengalu-alukan komen saudara.Saya memang mengambil maklum mengenai kesusahan orang ramai di luar sana untuk mendapatkan dana.Saya telah pun mengarahkan semua agensi di bawah kementerian saya agar memberi sebab mengapa permohonan itu ditolak berkuatkuasa pada 1/6 ini. Stlh itu, pemohon diberi peluang selama sebulan untuk membuat rayuan.Sekiranya pemohon tidak berpuas hati,mereka boleh membuat aduan terus kepada Jawatankuasa Rayuan yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian.Jawatankuasa Rayuan ini berhak dan mempunyai kuasa untuk meluluskan pinjaman yang gagal tadi sekiranya alasan yang diberikan oleh pemohon adalah munasabah dan memenuhi keperluan syarat-syarat pinjaman.
Semoga slkeb40 terus maju jaya.