Pengumuman

Blog ini sudah berpindah ke alamat baru

www.nohomar.com .

 Blog ini masih akan mendapat update dan pautan posting terkini dari Blog baru.

Terima Kasih kepada semua pengunjung Blog Hati Malaya.

Sunday, May 18, 2008

Ahad, 18/05/08,1:30 pagi.....

Pada waktu ini...saya dalam perjalanan menuju ke Lumut berkereta bersama beberapa orang rakan seperjuangan dan pegawai-pegawai saya. Ini kerana kira-kira 11.00 pagi ini nanti, saya telah dijemput untuk menghadiri Majlis Perasmian Kompleks Ternakan Ikan yang dibangun dan diusahakan oleh Syarikat Global Hi-Q Biotech Sdn. Bhd, usahasama antara pelabur tempatan dan juga pelabur dari Taiwan.

Sepanjang hari semalam setelah melalui jadual kerja yang agak padat bermula dengan pertemuan dan dialog bersama usahawan-usahawan Selangor pada jam 10.30 pagi. Majlis tersebut telah diadakan di Hotel Concorde, Shah Alam dan dihadiri seramai kira-kira 800 orang usahawan berbilang kaum.

Banyak isu telah dibangkitkan oleh audiens terutamanya dari kaum India berkenaan isu-isu yang melibatkan DEB dan juga pelaksanaan dasar-dasar kerajaan oleh agensi-agensi di bawah kementerian saya. Sewaktu sesi dialog, ada audiens yang memberi pandangan bahawa DEB dan Kementerian saya ini diwujudkan hanyalah untuk membantu Melayu dan bumiputera sahaja. Di sini ingin saya jelaskan, bahawa sebagaimana penulisan terdahulu saya mengenai DEB, ianya adalah untuk semua kaum. Antara objektif DEB adalah untuk membasmi kemiskinan tanpa mengira kaum. Sehubungan dengan itu, sebuah jawatankuasa diwujudkan di bawah kementerian saya dikenali sebagai Majlis Galakan Usahasama Tulen (MGUT). Ia berperanan untuk menggalak dan meningkatkan usahasama di antara Bumiputera dan bukan Bumiputera dalam bidang perdagangan dan perindustrian.

Objektif utama MGUT adalah untuk mengalakkan Usahasama Tulen di antara usahawan Bumiputera dan Bukan Bumiputera. Kedua-dua belah pihak dapat bersama-sama memperluas,meneroka dan berkongsi pengalaman serta kepakaran dalam bidang perniagaan dan perindustrian berasaskan kepada kekuatan dan kelebihan masing-masing dan bukannya usahasama berbentuk ‘Alibaba’. Setakat ini dalam tempoh 11 tahun, 56 syarikat usahasama telah dapat diwujudkan. Program Usahasama Tulen yang sudah masuk Fasa Kedua ini telah mendapat dana sebanyak 500 juta yang dipersetujui dengan kerjasama Bank Negara, Bank Perdagangan, Bank Pembangunan, Perbankan Islam, syarikat-syarikat modal teroka dan Agensi pembiaya Kerajaan seperti Permodalan Nasional Berhad, MARA dan SMIDEC.

Statistik terkini setakat April 2008 menunjukkan bahawa SME Bank telah meluluskan pinjaman untuk Bukan Bumiputera sebanyak 82.8 juta ringgit. Dari jumlah itu, sebanyak 14.8 juta diperuntukkan kepada kaum India dan 68.0 juta kepada kaum Cina. Dari segi latihan pula, sepanjang tahun 2006 dan 2007, INSKEN telah membelanjakan sebanyak RM450,920.00 bagi membiayai penganjuran latihan keusahawanan kepada masyarakat India di mana keseluruhan peserta yang dilatih seramai 4627 orang.Pada tahun ini pula, seramai 300 orang bukan bumiputera dilatih di bawah Skim Usahawan Siswazah dan Tabung Usahawan Siswazah. Dari sudut pembangunan modal insan, seramai 3,223 pelajar bukan bumiputera telah diterima belajar di MRSM dan Giat Mara. Premis Perniagaan pula telah diberikan kepada 472 orang bukan bumiputera.Seramai 14 orang Bukan Bumiputera telah diberi bantuan dari segi Program Promosi dan Pemasaran. Sebanyak 123,336 lesen bas, lori dan teksi telah diberikan kepada pengusaha Bukan Bumiputera dan sebanyak 5167 lesen PKK pula telah dikeluarkan kepada kontraktor-kontraktor Bukan Bumiputera. Ini jelas bahawa tidak timbul masalah kerajaan membantu sesuatu kaum sahaja dan menunjukkan kerajaan Barisan Nasional serius dengan tanggungjawab membantu semua kaum yang di Malaysia.

Pada hari ini, kita telah menyaksikan satu lagi perjanjian usahasama tulen ditandatangani di antara Dewan Muda DPMMS dengan Abex Manufacturing Sdn. Bhd dan Massa Auto Services Sdn. Bhd. Saya berharap agar usahawan Bumiputera dan Bukan Bumiputera di luar sana mengambil peluang ini dengan menyertai Program Usahasama Tulen ini. Inilah semangat rakyat Malaysia yang tersurat dan tersirat di dalam Rukun Negara.
Pada sebelah petangnya pula, lebih kurang jam empat, jadual kerja saya diteruskan dengan menghadiri jemputan ke Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Koperasi Usahawan Belia Kuala Selangor yang diadakan di Kuala Selangor. Saya berbangga dengan kesedaran dan semangat yang ditunjukkan oleh golongan belia Kuala Selangor sehingga tertubuhnya koperasi ini. Semoga usaha ini menjadikan sektor koperasi terus relevan dan menyumbang kepada peningkatan ekonomi rakyat dengan menambah peluang pekerjaan serta dapat merapatkan jurang ekonomi dan sosial di Negara ini.

Seusai majlis itu, saya mempengerusikan pula mesyuarat jawatankuasa UMNO di Hotel De Palma, Kuala Selangor. Pelbagai perkara dibincangkan sepanjang pertemuan itu. Kemudian lebih kurang jam 9.00 malam, saya bertolak ke perkarangan Dewan Dato’ Hormat Tanjong Karang bagi menyempurnakan Majlis Perasmian Program Gerak Usahawan Peringkat Majlis Pembangunan Usahawan Daerah (MPUD) Parlimen Tanjong Karang. Program ini bermula pada jam 9.00 malam. Sambutan kehadiran orang ramai yang mencecah 7000 orang adalah di luar jangkaan saya. Ini menunjukkan bahawa kesedaran orang ramai terhadap bidang keusahawanan sudah tinggi. Buat pengetahuan semua, dengan penyertaan kesemua agensi di bawah MECD, program ini adalah merupakan ‘one stop centre’ kepada usahawan dan bakal usahawan bagi mereka mendapatkan maklumat mengenai kemudahan, bantuan dan sokongan serta peluang-peluang baru dalam perniagaan.

Program Gerak Usahawan ini juga boleh digambarkan sebagai testimoni kepada kesungguhan kerajaan hendak membangunkan usahawan.Ianya juga merupakan satu proses pembudayaan ilmu keusahawanan di kalangan Bumiputera bagi membentuk suatu budaya perniagaan yang boleh bertukar menjadi potensi kepada sumber pendapatan yang berterusan.

Suka saya ingatkan di sini, sesungguhnya tidak ada jalan pintas kepada sesuatu kejayaan dalam dunia keusahawanan. Kemahiran, kerajinan, ketekunan serta kesungguhan dan komitmen yang tinggi amat diperlukan bagi mencapai kemajuan dan memperkasakan bidang keusahawanan ini. Saya berharap agar program ini memberi banyak manfaat kepada anda semua di luar sana.

Jam menunjukkan 2.45 pagi...Saya masih di sini dan meneruskan perjalanan untuk sampai ke destinasi yang dituju....

No comments: