Pengumuman

Blog ini sudah berpindah ke alamat baru

www.nohomar.com .

 Blog ini masih akan mendapat update dan pautan posting terkini dari Blog baru.

Terima Kasih kepada semua pengunjung Blog Hati Malaya.

Friday, May 23, 2008

Dialog Bersama Airport Limo dan Rapid

Sesi dialog bersama Syarikat dan Badan Kebajikan Sosial Airport Limo (M) Sdn. Bhd. Telah memakan masa lebih kurang empat jam. Pelbagai isu telah dibangkitkan mengenai prestasi dan keberkesanan perkhidmatan Airport Limo, isu ulat, kebajikan pekerja dan usaha-usaha yang perlu dilakukan ke arah penambahbaikan. Salah satu keputusan yang dilihat boleh membantu ke arah perkhidmatan mesra pelanggan ialah dengan mengaktifkan semula peranan pemandu-pemandu limo sebagai ‘ Customer Service’. Mereka akan bertindak memberi maklumat mengenai perkhidmatan yang disediakan oleh Airport Limo dan juga membantu pelanggan mendapatkan maklumat-maklumat lain yang berkaitan.

Pada sebelah malam, saya berdialog pula dengan syarikat yang mengusahakan Rapid KL dan Rapid Penang. Antara isu yang dibangkitkan ialah keberkesanan perkhidmatan Rapid KL dan Rapid Penang dalam memberi perkhidmatan yang cekap dan berkualiti kepada pengguna. Dengan itu kita melihat apakah Rapid KL dan Rapid Penang yang dimiliki 100% oleh Syarikat Prasarana Negara Bhd. Perlu bersaing dengan perkhidmatan bas swasta yang lain.

Saya telah meminta pihak LPKP supaya membuat satu laporan untuk diangkat kepada kabinet dan dibentangkan kepada Jawatankuasa Kabinet Pengangkutan Awam. Saya juga akan mengadakan satu pertemuan dengan operator-operator bas yang beroperasi di Lembah Klang pada 27hb ini dan melihat pula pandangan mereka mengenai prestasi pengangkutan awam di sekitar Lembah Klang.

Sewaktu menggulung hujah di parlimen tempohari, saya menyangka isu teksi ini boleh selesai dalam masa lima minit sahaja tapi saya silap…lebih kurang setengah jam para Y.B. tidak kira dari pihak Barisan Nasional mahupun pembangkang telah bangun mengemukakan hujah berkenaan isu ini. Saya kira, ramai peguambela kepada pemendu-pemandu teksi di dalam Dewan Rakyat. Baru-baru ini, di mana-mana sahaja apabila saya mengumumkan usaha kerajaan memberikan permit teksi kepada individu, satu tepukan gemuruh diberikan oleh audiens. Bukan ingin popular, tapi itulah luahan hati yang sebenar para pemandu taksi…

Pertemuan demi pertemuan telah diatur dengan semua pihak yang terlibat. Sebagai tindakan hasil dari semua pertemuan yang saya hadiri, kabinet telah meminta saya agar membuat satu kajian terperinci terhadap isu pemberian permit teksi kepada individu. Satu Nota Kabinet telah dihantar bagi memaklumkan langkah-langkah yang telah kita ambil bagi isu ini. Sebuah memorandum juga turut dihantar ke kabinet.

Membuat sebuah keputusan besar yang melibatkan dasar, bukanlah satu kerja mudah. Saya merasakan sangat perlu untuk saya turun padang, berbincang, melihat dan mendengar sendiri masalah dan sungutan orang ramai serta mendapat ‘feedback’ dari semua pihak yang berkenaan, barulah kita dapat membuat satu keputusan yang terbaik untuk semua.

2 comments:

minah warong said...

Dato, betul ke rapid KL rugi juta-juta? Bat perabis duit rakyat jer.Eloklah kalau diswastakan saja Perkhidmatan Rapid ni supaya depa bersaing dengan bas-bas lain. Kalau dok dalam kerajaan, mesti rugi punyalah...sebab depa selesa. Tiap-tiap bulan dapat gaji. Tak perlu peduli untung rugi...

Fikir-fikirkan lah sebelum rakyat menyalahkan dato sebagi menteri yang bertanggungjawab..

Noh bin Haji Omar said...

Terima kasih kepada minah warong kerana sudi memasuki blog Hati Malaya dan memberi komen terhadap pertemuan saya dengan pihak pengurusan bas rapid. Sebenarnya banyak perkara telah diperbincangkan dalam pertemuan lebih tiga jam tu. Kalau ditanya kpd saya apakah saya sendiri berpuashati dengan tahap perkhidmatan rapid setelah lebih 3 tahun beroperasi, jawapannya sudah tentu tidak. Walaupun saya tak pernah menggunakan perkhidmatan Rapid namun saya banyak mendengar dan menerima aduan daripada pengguna Rapid selain membaca laporan-laporan yang disiarkan dalam media massa.Setelah mendengar taklimat daripada pengurusan Rapid dan berbincang, saya dapati ada beberapa isu yang tak kena dan perlu diberi perhatian ke arah memperbaiki perkhidmatan mereka.

Antaranya, yang jelas ialah struktur tambang dan cara kutipan tambang nya boleh mengundang kepada penyalahgunaan daripada pihak pengguna mahupun pihak pemandu bas Rapid sendiri. Saya ada mendapat aduan bahawa pengguna boleh menyalahgunakan tiket bas Rapid walaupun murah tetapi tiket berkenaan yang boleh digunakan dalam tempoh 24 jam dan berkali-kali boleh diberikan kpd pengguna lain. Ini kerana tidak ada sistem yang digunakan yang boleh mengenalpasti pengguna yang sah terhadap sesuatu tiket yang dikeluarkan. Ini sudah tentu akan membawa kerugian kepada pihak pengurusan.

Selain itu, saya turut menerima aduan bahawa jadual perkhidmatan Rapid adalah tak menentu. Mereka memberi alasan kesesakan lalu lintas di Lembah Klang menyebabkan jadual perkhidmatan mereka tergendala.

Rapid juga sepatutnya memberi khidmat kepada laluan sosial seperti di taman-taman perumahan yang jauh daripada laluan utama. Namun alasan yang diberikan keadaan jalan dan fizikal bas Rapid tidak membolehkan bas Rapid memasuki kawasan berkenaan. Bagi saya alasan ini tak munasabah. Bak kata pepatah hendak seribu daya tak hendak seribu dalih. Rapid sepatutnya menggunakan bas mengikut kesesuaian, kalau tak boleh bas besar pun..guna bas kecil atau mini untuk memasuki taman perumahan yang mungkin jalannya agak sempit sedikit.

Sebenarnya sebagai syarikat pengangkutan awam yang mendapat sokongan kewangan sepenuhnya daripada pihak kerajaan, Rapid sepatutnya menjadi contoh kepada pesaing-pesaingnya dalam memberi perkhidmatan yang bermutu, cekap dan cemerlang. Dengan khidmat yang cekap, selesa dan mengikut jadual. Sudah tentu orang ramai khususnya warga lembah klang akan menggunakan khidmat pengangkutan bas awam dan sekaligus mengurangkan kesesakkan lalulintas dengan itu, objektif penubuhan Rapid adalah untuk meningkatkan imej pengangkutan awam Negara akan segera tercapai.

Sehingga ke saat ini...saya masih berpikir-pikir untuk menimbangkan apakah perlu Rapid ini diswastakan sebagaimana yang dicadangkan oleh saudari minah warong kerana saya juga sependapat dengan beliau berkenaan dengan isu ini.