Kita berasa bangga dengan dengan daya tahan para peniaga Melayu di pasar tersebut, walaupun keadaan bangunan semakin dimamah usia dan usang namun suasana perniagaan di situ tetap rancak dan memberi keuntungan kepada para peniaga.
Dalam kesibukan di pasar Dato’ Keramat, diam tak diam sebuah bangunan baru Pasar Keramat sudahpun hampir siap dan dijangka beroperasi awal tahun depan. Namun begitu, kehadiran bangunan baru ini nampaknya kurang disenangi oleh para paniaga dan memberi pelbagai alasan untuk tidak dipindahkan ke pasar baru itu.
Atas permintaan mereka, hari ini saya bersama Menteri Wilayah Persekutuan Dato’ Zul Hasnan Rafique melawat ke Bangunan Pasar Baru dan mendapat taklimat daripada pengurus projek bangunan berkenaan. Hadir sama Ahli parlimen Titiwangsa YB Dr Lolo Dato Ghazali. Selepas mendengar taklimat selama lebih kurang sejam, kami pun dibawa melawat segala kemudahan yang disediakan di situ termasuklah ruang niaga peniaga ikan, sayuran, bahan kering, pasar basah dan kemudahan lain. Kermudahan yang disediakan di pasar tersebut benar-benar mencerminkan sebuah Pasar Moden yang bertujuan memberi keselesaan kepada semua pihak yakni pengguna dan penjaja. Walaubagaimanapun terdapat beberapa aspek yang dikira tidak sesuai dan menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan peniaga di situ. Namun begitu,dengan adanya perbincangan kedua-dua belah pihak,saya yakin masalah ini dapat diselesaikan.
Apapun pesan saya kepada para peniaga di pasar Dato’ Keramat, hendaklah bersedia dan sanggup menerima perubahan dalam apa kes sekali pun kerana hanya mereka yang sanggup menerima dan membuat perubahan akan berjaya dalam persaingan dunia yang semakin sengit. Dalam kes peniaga Pasar Keramat ini, mereka perlu mengubah budaya dan cara niaga mereka dari persekitaran tradisional kepada persekitaran moden. Kita selalu bercakap bahawa sampai bila peniaga Melayu perlu berada di pinggiran, tetapi jika peniaga tidak sanggup duduk di depan walaupun diberi peluang, maka salah siapa lagi...?
Dalam hal ini DBKL telah berusaha untuk meningkatkan taraf peniaga Pasar Dato’ Keramat tetapi para peniaga sendiri berasa kurang selesa untuk berpindah, kita tidak boleh salahkan DBKL. Kepada para peniaga dan penjaja saya berharap mereka dapat melihat perpindahan ke pasar baru dengan lebih positif.
Dalam pada itu saya telah mencadangkan kepada para peniaga dan penjaja Pasar Keramat supaya menubuhkan koperasi. Banyak manfaat mereka perolehi jika mereka bersatu di bawah koperasi sendiri. Koperasi yang ditubuhkan boleh dibangunkan sebagai sebuah entiti perniagaan. Keuntungan daripada perniagaan koperasi kelak boleh dinikmati oleh kesemua ahli dalam bentuk dividen tahunan.
Saya sempat juga menyinggah di pasar lama Keramat untuk melihat sendiri keadaan peniaga-peniaga di sana dan sesi turun padang hari itu diakhiri dengan makan tengahari yang menyelerakan digerai ikan bakar berhadapan dengan pasar lama Keramat bersama dengan ahli-ahli persatuan peniaga di situ.